Friday, August 25, 2006

penenang hidup boleh menyelamatkan suami di akhirat

Seorang lelaki yang belum berkahwin tentu bercita-cita untuk memiliki seorang wanita yang boleh menjadi teman hidup, boleh memberi kebahagiaan zahir dan batin dan ketenangan dalam rumahtangga.Mereka yakin hanya wanita yang 'baik' saja yang boleh memberi ketenangan. Lantaran itu tidak pelik ada lelaki yang memesrai ramai wanita lain sebagai teman berhibur, tetapi enggan menjadikan mereka isterinya. Sebaliknya memilih wanita yang terpelihara, yang belum dimesrai oleh mana-mana lelaki sebagai suri dalam hidupnya.

Itulah sebenarnya fitrah semua lelaki. Inginkan agar wanita yang menjadi teman hidupnya boleh menjadi sumber ketenangan pada hatinya dan kebehagiaan dan kegembiraan dalam rumahtangga demi untuk menyambung zuriatnya.

Tidak semua wanita boleh memberi ketenangan hidup pada lelaki yang menjadi suaminya. Wanita yang ada meletakkan cinta pada orang lain, tentulah tidak akan dapat menggembirakan suami. Betapa ramai hari ini isteri-isteri yang teralih pandangannya pada lelaki lain yang ditemui setiap hari di tempat kerja, di tempat menunggu bas, lelaki yang ditemui semasa berurusan dengannya yang mana ada di antara mereka lebih kacak, lebih mesra, lebih kaya dan memangnya pandai memikat. Lelaki yang tidak pernah memikirkan samada wanita itu isteri orang ataupun anak dara orang ememangnya akan memburu dan membujuk rayu wanita itu untuk dapat memuaskan dorongan nafsu jahat.

Isteri yang malang akan terperangkap dan akan hilanglah keindahan hidup dalam rumahtangga kerana hatinya sudah dapat digugat oleh lelaki lain. Cintanya telah berbelah bagi. Perhatiannya pada suami sudah tidak seserius seperti masa mula-mula kahwin dulu. Makin hari makin hendak larikan diri daripada suami. Apa lagi kalau semakin hari semakin nampak kelemahan dan kecacatan suami. Maka berfikir dan beranganlah mereka untuk hidup di samping lelaki lain yang ditemui saban hari di tepi-tepi jalan, di tempat kerja atau di mana saja. Sehingga kerana itu layanan pada suami makin kurang.

Kasih begini memang telah berlaku dan pernah diceritakan dalam kitab. Kisah seorang wanita muda yang bersuamikan lelaki tua. Wanita muda yang jadi isteri itu hari-hari ke pasar membeli barang keperluaannya disebabkan oleh suaminya uzur dan sudah tua. Bertemulah dia dengan seorang penjual yang muda dan kacak. Pada mulanya dalam hati wanita itu biasa saja, tiada apa-apa perasaan lain bila berurusan dengan lelaki itu. Tetapi setelah kerap kali berjumpa, timbul pula perasaan lain di dalam hatinya. Hatinya mula membandingkan lelaki itu dengan suaminya. Mulalah dia nampak suaminya tidak 'handsome' dan tua. Sehingga hatinya mula terpikat pada pemuda itu. tetapi dia wanita solehah. Tidak mahu syaitan mempermainkannya dan tidak sanggup untuk curang pada suami yang banyak berjasa padanya.

Lalu apabila balik ke rumah dia pun mengadu pada suaminya tentang keadaan dirinya. Dia meminta pada suaminya untuk tidak mahu ke pasar lagi. Dia tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki kacak pada pandangan matanya, demi menjaga iman dan untuk taat pada suaminya.

Begitulah kisah seorang wanita solehah. Apa jadi kalau wanita yang tidak baik mengalami kisah begitu? Tentu dilayan kemahuan hati untuk menjadi kekasih hati lelaki lain apabila hati sudah tawar dengan suami. Ini jugalah puncanya yang menyebabkan banyak rumahtangga yang runtuh pada hari ini kerana isteri sudah tidak merasa suami itu istimewa pada dirinya yang sepatutnya dilayan sebaik-baiknya dan dimuliakan setinggi-tingginya. Didahulukan segala kemahuan dan hajatnya lebih dari orang lain walaupun kedua ibu bapanya sendiri. Kebanyakan wanita hari ini memandang perintah memuliakan atau mentaati suami sebagai tidak patut dan menganggap perintah itu sebagai menghina kaum wanita sehingga menjadi hamba abdi suami.

Isteri sebegini, yang tidak nampak lelaki lain yang lebih hebat, lebih baik terhadap dirinya melainkan suaminya akan meletakkan sepenuh kasih sayang, cinta dan ketaatan pada suaminya. Dia akan sentiasa mencari-cari apa saja perlakuan yang menyenangkan hati suami. Mencari apa yang menjadi keghairahan suami dan menjauhkan diri dari membuat perkara yang suami tidak suka dan boleh menghilangkan bahagia pada hati suami. Seterusnya sangat takut untuk melakukan perkara yang boleh menggugat kebahagiaan dalam rumahtangga yang telah dibina. Lebih takut lagi untuk derhaka pada suami kerana takut kemurkaan Allah yang akan melemparkan isteri-isteri yang derhaka dalam neraka.

Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Di tanya orang, "Ya Rasulullah manakah wanita yang baik?"

Rasulullah saw menjawab; "Wanita yang baik ialah wanita (isteri) yang selalu menggembirakan suaminya, bila suaminya melihat kepadanya, ia selalu patuh, bila suaminya memerintahnya, dan dia tidak mahu melanggarnya baik pada diri peribadinya, mahupun harta bendanya menurut yang tidak disukai suaminya."

Begitu sekali pentingnya isteri menjaga hati suami agar jangan sampai kecil hati, apa lagi kalau perbuatan itu menimbulkan kemarahan dan kebencian di hati suami. Hendaklah dijauhkan agar tidak berlaku di dalam rumahtangga kita. Biarlah kita jadi wanita penenang dan penyejuk hati suami dalam rumahtangga sepertimana sabda Rasulullah saw bahawa baginda mencintai tiga perkara iaitu sembahyang, wangi-wangian dan wanita solehah. Biarkanlah wanita yang tidak solehah itu berkata perbuatan memuliakan dan mentaatkan suami itu sebagai kerja menghina atau mengabdikan kaum wanita, kerana tempatnya sudah bersedia menunggu. Cuma kita sebagai orang Islam, doakan mereka semoga dia insaf akan kata-katanya itu.

Berbahagialah suami yang memiliki isteri-isteri yang sepertimana difirmankan Allah dalam surah An Nisa ayat 34 yang bermaksud:

"maka sang isteri (wanita-wanita) yang baik itu ialah mereka yang setia kepada suaminya, mereka selalu memelihara kehormatan dirinya selama suaminya tiada di rumah, sebagaimana Allah telah memeliharanya."

Memang telah Allah jadikan wanita itu sebagai pelengkap hidup bagi lelaki. Dengan memesrai dan menggauli wanita yang jadi isterinya, lelaki boleh melepaskan ketegangan seks dan ketegangan fikiran setelah penat bertungkus lumus di tempat kerja. Persoalan di tempat kerja kadang kala begitu berat dan cukup meletihkan bagi kaum lelaki. Ketika itu lelaki amat memerlukan hiburan. Hiburan yang tertinggi bagi seorang lelaki ialah wanita, iaitu isterinya.

Wanita yang dihalalkan baginya ialah isteri yang telah dikahwini secara sah di sisi syariat. Tetapi ada juga lelaki yang mencari hiburan melalui wanita yang bukan isterinya. Mereka dampingi wanita liar yang bebas, yang boleh diajak ke hulu ke hilir, ataupun mereka kunjungi wanita di rumah urut, tempat pelacuran, yakni hiburan yang terpaksa dibayar setiap kali minta dilayan. Duit habis, layanan pura-pura dan dosa kerana buat maksiat akan memburu mereka di akhirat nanti. Entah-entah kerana dosa itu mereka akan merempat hina di neraka yang penuh seksa. Itulah pentingnya lelaki memiliki seorang isteri yang sedia untuk melayan suaminya. Samada layanan dalam keperluan makan minum, pakaian dan fikiran juga lanan dari segi seksual. Kerana layanan itulah yang akan dapat menyelamatkan suami dari mencari hiburan dan ketenangan di tempat lain. Seterusnya boleh menyelamatkan para suami dari melakukan dosa.

Layanan dari segi seksual penting apabila suami berhajat. Sehingga Rasulullah saw berpesan dalam hadisnya kepada para isteri supaya mereka melayani hajat suami sekalipun mereka berada di atas belakang unta, mesti ditunaikan juga. Tetapi, wanita yang tidak solehah akan memandang pesanan sabda Rasulullah saw ini sebagai tidak ada otak dan semua kaum lelaki bertuhankan nafsu seksual.

Ada diceritakan, di antara para sahabat Rasulullah saw yang berpuasa apabila berbuka mereka menggauli isterinya terlebih dahulu. Ini disebabkan melepaskan dorongan seks akan mendatangkan ketenangan pada lelaki. Apabila tenang barulah datang rasa khusyuk sewaktu beribadah.

Jangan disebabkan oleh terlalu letih bekerja, isteri mereka berat untuk menunaikan hajat suami. Sehingga suami berasa kecil hati dan mendongkol. Isteri-isteri yang begitu akan dilaknat oleh Allah sebagaimana hadis Rasulullah. Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi saw, bersabda:

"Bila seorang telah mengajak isterinya ke tempat tidurnya (untuk menggaulinya), lalu ia enggan datang, dia dikutuk oleh malaikat hingga waktu subuh." Riwayat Bukhari dan Muslim

Jika isteri-isteri betul-betul dapat menyediakan diri dan rumahtangga sebagai sumber dan tempat suami dan ahli keluerga mendapat ketenangan, insyaAllah suami itu akan semakin bersungguh-sungguh untuk beribadah, bersembahyang, membaca Al Quran, zikir wirid dan melakukan kebaikan dengan hati yang lapang, bila dia keluar rumah. Sebaliknya bila dia keluar rumah, hatinya tidak bimbang meninggalkan rumah kerana dia yakin ada orang yang disayanginya dapat memelihara amanahnya dan rumahtangga. Tidaklah fikirannya diganggu oleh persoalan rumahtangga yang remeh-temeh. Merdekalah fikirannya untuk memikirkan dan melaksanakan tugas seorang lelaki yang lebih besar dan berat yang telah diamanahkan kepadanya di luar rumah.

Ketenangan yang didapati oleh seorang suami dari seorang isteri solehah memungkinkan suaminya untuk mencapai kejayaan hidup di dunia. Ia akan memungkinkan suami berjaya dan maju dalam perjuangannya, dalam kariernya dan sebagainya. Dan boleh menyelamatkan mereka di akhirat dari seksa Allah kerana berkat layanan dan ketenangan yang didapati dalam rumahtangga menghalang dari bertindak liar dan curang di belakang isteri.

sekian...apa komen kawan2?

Thursday, August 17, 2006

Wanita, anak melalaikan jika suami tak kuat iman

DALAM kehidupan berumah tangga, disedari atau tidak, ada isteri dan anak yang menjadi musuh suami. Pengesahan ini diungkapkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman, sesungguhnya antara isteri kamu dan anak kamu ada yang menjadi musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.” (Surah at-Taghabun, ayat 14).

Menurut Ibn Abbas, ayat di atas turun berikutan kisah di kalangan orang Islam yang menyatakan dirinya memeluk Islam dari kota Makkah. Mereka hendak bertemu Rasulullah SAW untuk mendalami ilmu. Namun, isteri dan anak mereka tidak membenarkannya. Selepas mereka sampai kepada Rasulullah SAW, mereka melihat orang ramai mendalami ilmu agama.

Sayyid Qutb (1327-1386 H) menjelaskan, isteri dan anak kadang-kadang menjadi sebab yang melalaikan seseorang daripada mengingati Allah dan mencuaikan tanggungjawab keimanan.

Seseorang itu mungkin mampu menanggung kesusahan, tetapi tidak sanggup melihat anak dan isterinya menanggung kesusahan. Inilah yang menyebabkan dia menjadi bakhil dan pengecut supaya anak dan isterinya aman dan tenang supaya mereka hidup senang dan cukup mempunyai harta benda. Dengan demikian mereka menjadi musuhnya kerana menjadi penghalang daripada kebaikan dan demi merealisasikan matlamat kewujudan insaniah yang tinggi.

Mereka adalah penghalang untuk suami melakukan kebaikan agama dan mengembangkannya kepada manusia. Malah, lebih teruk lagi, mereka adalah orang yang sentiasa mengajak keluarganya kepada perkara yang bertentangan dengan roh Islamiah.

Bagi suami yang tidak mampu menahan diri daripada cubaan ini akan bersama hanyut dalam dunia keasyikan yang melalaikan. Lalainya suami terhadap isteri kerana mereka adalah objek menarik yang diciptakan oleh Allah yang mampu untuk melalaikan suami terhadap perintah Allah sekiranya tidak diurus sebaik mungkin.

Allah menggambarkan tabiat manusia yang amat cinta dan mengagumi benda yang indah dan menarik. Sesuatu yang paling menarik perhatian lelaki ialah wanita. Ia dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang tangkas lagi terlatih dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). “ (Surah Ali Imran, ayat 14).

Menerusi ayat di atas, al-Qurtubi menyatakan, wanita adalah fitnah dan ujian paling berbahaya bagi lelaki berbanding ujian lain. Wanita yang menjadi fitnah. Ujian kepada lelaki ialah wanita yang tidak mematuhi batas syarak yang ditetapkan Allah ke atas mereka. Sebaliknya, wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan di dunia ini.

Golongan lelaki juga hendaklah mengetahui bahawa Allah mengurniakan harta dan anak untuk menguji hamba-Nya.

Oleh itu, adalah yang terbaik bagi suami, memberikan ilmu pengetahuan agama kepada isteri dan anak mereka. Dengan ilmu itu mereka sekeluarga akan memahami suruhan dan tegahan Allah. Pemahaman ini penting supaya ada rasa tanggungjawab bersama untuk membela agama Allah.

Kegagalan memberikan ilmu dan mengamalkannya, boleh menyebabkan mereka sekeluarga terjerumus ke dalam perkara dilarang, sekali gus boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Sebagai orang beriman, Allah mengingatkan bahawa mereka perlu menjaga kaum keluarga daripada terjerumus ke dalam neraka. Ingatan ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Wednesday, August 16, 2006

Setiap Wanita itu Cantik

Allah berfirman: "Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan." "Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya." "Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh." "Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya." "Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya." "Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu." "Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan." "Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya.Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada." Kirimkan Firman ini kepada setiap wanita yg anda kenali.... Anda akan menambah harga diri ciptaan Indah, wanita! kerana, Setiap Wanita itu Cantik.

Wednesday, August 09, 2006

Kisah sahabat: Umar keluar malam beri bantuan kepada rakyat miskin

SATU lagi kisah yang membuktikan keagungan Saidina Umar adalah sikapnya yang prihatin dan penyayang kepada rakyatnya.


Diriwayatkan pada suatu malam, dia mendengar tangis anak kecil di sebuah rumah. Terdengar pula suara ibu mereka menenangkan anaknya.

Umar kemudian ke rumah itu dan meminta izin untuk masuk. Ibu itu menjelaskan padanya bahawa dia sedang menenangkan anaknya yang menangis kelaparan. Untuk menghibur dan menenangkan anaknya dia sengaja merebus batu.

Umar bertanya kepadanya: “Wahai ibu, mengapa kamu tidak datang kepada Amirul mukminin untuk meminta makanan?”

Si ibu menjawab: “Selaku Amirul Mukminin seharusnya dia tahu nasib rakyatnya.”

Mendengar perkataan itu, Umar segera meminta diri dengan wajah duka. Sepanjang jalan dia menangis.

Di rumahnya, Umar mengumpulkan gandum ke dalam karung, kemudian dipikulnya karung gandum itu seorang diri menuju rumah itu.

Setibanya di sana, dia merebus sendiri gandum itu dan memberikan kepada kanak-kanak itu. Kemudian dia bergurau dengan mereka sampai kanak-kanak itu tertidur.

Umar juga mahukan pemimpin lain mencontohi sikap prihatin terhadap rakyat. Perkara ini dapat dilihat ketika beliau melantik seorang pemimpin, Umar menulis surat perjanjian dengan disaksikan oleh beberapa kaum Muhajirin.

Isi perjanjian itu: “Tidak boleh menunggang kuda yang biasa untuk angkut barang, tidak boleh memilih-milih makanan, tidak boleh berpakaian mewah, tidak boleh menutup pintu rumah bagi orang yang berkepentingan.” Kalau melanggar salah satu isi perjanjian ini maka dia akan dikenakan hukuman.

Muawiyah bin Abi Sufyan menyifatkan Umar dan Saidina Abu Bakar dengan ucapannya: “Adapun Abu Bakar tidak menghendaki dunia dan dunia tidak menghendakinya. Ada pun Umar dikehendaki oleh dunia, tetapi dia tidak menghendakinya. Ada pun kita bergelumang dalam lumpur dunia dari mulai punggung sampai perut.”

Ketika Umar pergi menunaikan ibadah haji bersama anaknya, dia mengeluarkan enam belas dinar. Lalu dia berkata kepada anaknya: “Kita telah berlaku boros.”

Pada suatu malam ketika Umar ke masjid, dia mendengar tangisan bayi di sebuah rumah. Mendengar tangisan bayi yang menghiba itu, dia hampiri rumah itu. Selepas si ibu mengizinkan masuk, Umar berkata: “Bertakwalah kepada Allah, berlaku baiklah kepada bayimu.”

Ketika mahu pulang, masih juga terdengar suara tangis bayi tadi, lalu dia mengetuk pintu rumah itu sekali lagi. Umar bertanya: “Mengapa semalaman bayimu menangis?” Si ibu menjawab? “ Wahai hamba Allah, aku mencuba memberinya makan tetapi dia menolak.”

Umar bertanya: “Mengapa?” Si ibu menjawab: “Bantuan makanan daripada Umar hanya diperuntukkan untuk bayi yang sudah berhenti disusu.”

Umar bertanya lagi: “Berapa usia bayimu ini?”

Si ibu menjawab: “Sekian bulan.”

Umar berkata lagi: “Kalau begitu jangan cepat-cepat kau menyusu anakmu.”

Sepanjang jalan Umar menangis dengan peristiwa itu dan berkata kepada dirinya sendiri : “Celakalah kamu Umar, berapa banyak anak kaum Muslimin yang sudah kamu bunuh.”

Selepas peristiwa itu, Umar menetapkan suatu keputusan. Bunyi surat keputusan itu: “Jangan cepat berhenti menyusu bayi. Setiap bayi yang lahir mendapat bantuan dari negara.”

Tuesday, August 08, 2006

Akal jangan dibiarkan bersendirian

Akal jangan dibiarkan bersendirian kerana ia adalah ciptaan Tuhan. Setiap ciptaan Tuhan mestilah berhadapan dengan
kekurangan dan kelemahannya.

Akal adalah makhluk rohani yang mempunyai sifat-sifat
kekurangan. Hendaklah dia diberi kekuatan. Kekuatannya mestilah dia bersandar dengan Tuhan jangan bersendirian.

Akal adalah guru diri manusia. Dia adalah penyuluh jalan kehidupan dunia dan Akhirat bagi insan. Pemandu hidup manusia di mayapada Tuhan.

Akal mestilah dipimpin oleh Tuhan dan dipandu oleh wahyu Tuhan. Dia tidak mempunyai kekuatan jika bersendirian.
Cuma manusia sahaja rasa akal ada kekuatan. Jika dia bersendirian memimpin diri manusia, mesti tersesat jalan
Tersesat jalan risikonya amat mengancam kehidupan insan.

Bukan sahaja padahnya diterima di dunia bahkan bersambung di Akhirat kelak dengan azab Tuhan. Akal di dalam diri memimpin diri manusia, dia mestilah dipimpin oleh Tuhan. Pemimpin di dalam pimpinan-Nya iaitu Tuhan agar dia memimpin manusia tidak tersesat jalan. Kerana itulah apabila dikatakan gunakanlah akal. Bukan ertinya menggunakan akal yang bersendirian.

Menggunakan akal yang dipandu oleh Tuhan, itulah yang
dimaksudkan. Bukan dia memimpin bersendirian tanpa Tuhan. Setiap manusia haraplah ambil perhatian. Jika manusia mahu selamat di atas jalan keselamatan.

Monday, August 07, 2006

Makna Tersirat Di Sebalik Kata-Kata Seorang Wanita

Sebenarnya, antara lelaki dan perempuan terdapat perbezaan dari segi pemahaman komunikasi. Ramai yang kurang menyedari hal ini terutamanya kaum lelaki.Lelaki perlulah memahami dan menyelami apakah maksud di sebalik kata-kata seorang perempuan. Sebagai contohnya:


1. Kalau perempuan tanya: Lawa ke budak pompuan tu?
Makna tersembunyi: Siapa yang paling lawa? I ke, budak pompuan tu?

2. Kalau perempuan tanya: You dah makan ke belum?
Makna tersembunyi: Jom pi makan. Lapar ni!

3. Kalau perempuan kata: Lawa-lawa la baju kat sini, yek.
Makna tersembunyi: Belikanlah untuk I.

4. Kalau perempuan kata: Rasa macam nak pening la.
Makna tersembunyi: Tolong picit kepala.

5. Kalau perempuan kata: Letihnya hari ni. Mana nak masak, basuh kain-baju lagi...
Makna tersembunyi: Kita makan kat luar jelah. Lepas tu, tolong basuh kain-baju
sekali.hehe.

6. Kalau perempuan kata: Kita lebih sesuai berkawan saja.
Makna tersembunyi: I tak nak kat you. Tak paham-paham ke?

7. Kalau perempuan kata: I suka berkawan dengan you. You baik, memahami bla bla..
Makna tersembunyi: Hish... I rasa macam minat sesangat kat you la. Rasa macam
nak jadi awek you je.

8. Kalau perempuan tanya: You pernah tak teringatkan awek you yang dulu?
Makna tersembunyi: Kalau nak gaduh, kalau berani sangat, sebut la nama dia depan
aku

9. Kalau perempuan kata: I sanggup berkorban demi kebahagiaan you.
Makna tersembunyi: Amboi! Aku kena berkorban. Habih, hangpa dua ekoq gak yang
seronok.

10.Kalau perempuan kata: I tak kisah kalau memang betul you nak kahwin lagi satu.
Asalkan you berterus-terang dengan I, bersikap jujur dan berlaku adil.
Makna tersembunyi: Sapa kata aku tak kisah? Adil ke tak adil, aku tak kira!
Langkah mayat aku dulu sebelum nak menikah lagi satu.


Ini cuma contoh saja. Tapi, memang ia selalu berlaku. Kalau tak percaya, cuba tanya isteri atau awek masing-masing, betul tak cakap di mulut tak sama dengan niat di hati. Bukannya kaum perempuan ni tak jujur dalam meluahkan isi hati mereka tapi. Wanita ni bukankah pemalu?

Friday, August 04, 2006

Penciptaan Nabi Adam

NABI Adam adalah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah s.w.t. di muka bumi. Baginda juga diutuskan sebagai nabi yang pertama dan merupakan nenek moyang sekelian manusia. Baginda dijadikan oleh Allah daripada tanah.

Allah menciptakan Nabi Adam sebagai manusia yang pertama mendiami bumi yang terbentang luas, beranak-pinak dan berketurunan menjadi manusia yang banyak, bermacam-macam golongan dan bangsa yang berselerak di seluruh pelosok bumi.

Terlebih dahulu Allah memberitahu kehendak-Nya untuk mencipta Nabi Adam kepada semua malaikat. “Aku hendak menciptakan manusia untuk menjadi pengatur di muka bumi ini.”

Para malaikat lalu menjawab, “Apakah manusia yang Engkau ciptakan itu untuk mengatur bumi, ya Tuhan kami? Tidakkah manusia itu nantinya akan merosakkan bumi dan menumpahkan darah serta berbunuh-bunuhan?”

Lalu Allah berfirman, “Aku lebih mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Setelah mendengar jawapan Allah yang pendek tetapi mempunyai erti dan maksud yang sangat dalam itu, semua malaikat terdiam. Mereka hanya berkata dengan berbisik antara mereka, “Mereka memang benar! Tuhan kita mengetahui segala sesuatu, daripada perkara yang sekecil-kecilnya sampai kepada perkara yang sebesar-besarnya.”

Maka pada hari yang dijanjikan, terciptalah Nabi Adam daripada segumpal tanah liat yang kering, lalu Allah meniupkan roh ke dalamnya supaya hidup, dapat bergerak, berperasaan dan bernyawa. Selepas itu, Adam pun menggerakkan sekujur badannya. Seterusnya terbukalah mata Adam, lalu bergeraklah jantung dan berfungsilah paru-parunya.

Dengan terciptanya Nabi Adam itu, maka bermulalah kehidupan manusia di muka bumi ini.