Tuesday, April 17, 2007

Berfikir sebelum mengeluh

"Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,

Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,

Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di
dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan
teman hidup.

Sebelum kita mengeluh & memarahi ibu dan bapa kita yang masih hidup
Fikirkan tentang seseorang yang merintih pilu memerlukan kasih sayang
ibu dan bapa

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi
dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak
mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka
mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !


*BELAJARLAH BERSYUKUR SEBELUM TERLAMBAT !!!!*

Monday, April 16, 2007

Bertangguh buat amal punca hati ‘menganggur’

HATI yang menganggur lebih berbahaya daripada tubuh badan yang sakit. Seseorang yang memiliki hati pasif, diam dan tiada gerakan ibadat sebenarnya sudah mati sebelum dicabut nyawanya. Kekosongan hati timbul akibat lemahnya semangat manusia untuk bangkit dan melawan keinginan hawa nafsu.


Kita perlukan semangat melupakan kesedihan, bangkit dan berjuang melawan musuh yang nyata iaitu syaitan. Tiada seorang manusia yang tetap tinggi kedudukan imannya. Ada kala dia terjatuh dan tersungkur, kemudian menyesali kelalaian dan kembali bertaubat. Ini digambarkan dalam al-Quran bermaksud:“Dan orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapakah yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” Surah Ali Imran: Ayat 135

Hati menganggur, malas dan berputus asa ada ciri-ciri sebagai berikut:

Berlebih-lebihan melakukan perkara mubah. Terlalu banyak berehat, santai dan mengisi kekosongan masa dengan hiburan, makanan, tidur yang panjang, bermain dan bergurau, banyak tertawa, panjang angan-angan dan semua itu berbahaya jika diteruskan dalam kegiatan seharian. Kehidupan serba senang tanpa cabaran dan tekanan membuat manusia lupa diri dan lemah semangat bila ditimpa susah. Berhati-hati jika terus berada dalam zon selesa. Orang mukmin hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan paling teruk yang menghalangnya.

Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan RA yang hidup sebagai Khalifah paling berkuasa selama berpuluh-puluh tahun pernah berkata: “Aku memakai pakaian daripada semua jenis kain, tetapi tidak pernah menemui sehelai pakaian terbaik setanding pakaian takwa. Aku juga sudah merasai semua jenis makanan, tetapi tidak pernah menemui kelazatan seperti kelazatan sabar. Aku memiliki segala jenis kenikmatan, tetapi tiada kenikmatan mampu menandingi kenikmatan duduk mendekatkan diriku kepada Allah SWT.”

Anggota badannya menolak hidayah Allah SWT. Pernahkah anda berasakan suara hati anda menyuruh berbuat baik, melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat? Sebenarnya dalam jasad manusia ada yang mempengaruhi hati dan perasaannya, adakah ia unsur malaikat atau unsur syaitan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan dia diiringi temannya daripada bangsa jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: “Pada dirimu juga ya Rasulullah? Sabda baginda: Padaku juga begitu, tetapi Allah Taala menolongku terhadapnya sehingga ia tiada menyuruhku melainkan kebaikan saja.” (Hadis riwayat Muslim)

Hati yang suka menganggur menjadikan syaitan sebagai teman karibnya. Sementara hati yang aktif dan positif gerakannya dipengaruhi hidayah Allah SWT. Sesungguhnya hanya Allah SWT mampu menggerakkan kita berbuat baik. Hidayah-Nya saja menunjuk kita ke arah jalan selamat. Namun, ramai manusia menolak hidayah Allah SWT. Mereka lahir sebagai orang Islam, tetapi tidak mahu belajar agama Islam. Mereka dipilih Allah SWT sebagai hamba-Nya yang beriman, tetapi membiarkan dirinya kecundang oleh bisikan nafsu dan syaitan. Mengapa kita menolak hidayah Allah SWT yang berada di dalam hati kita? Allah Taala berfirman bermaksud: “Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah Al-A'raf ayat: 179).

Biasanya masa membuat mereka bertangguh menerima hidayah Allah SWT. Sampai bila harus menunggu? Jika tulang rapuh dan mata menjadi rabun, fikiran bercelaru, mengapa menunggu kematian menjemput, padahal setiap hari hidayah Allah SWT itu turun ke hati kita. Suka bergaul dengan ahli kelab penganggur. Persekitaran mempengaruhi keperibadian kita. Jika suka duduk bersama dan mendengar perbualan ahli perniagaan berjaya atau pakar motivasi hebat, kita semestinya terpengaruh dengan kata rangsangan dan galakan untuk lebih berjaya. Namun, jika melepak bersama orang bermentaliti lemah dan kualiti kehidupannya juga rendah, sedikit sebanyak ada pengaruh ditinggalkan dalam karakter diri kita. Lebih baik rajin di dunia dan menganggur di akhirat selama-lamanya daripada memanjangkan angan-angan di sini, namun sengsara tiada penghujungnya di akhirat.

Tuesday, April 03, 2007

Perbankan syariah perlu lebih bertolak ansur

PERKEMBANGAN perbankan Islam menjadi semakin rancak di Malaysia. Berdasarkan laporan Berita Harian, 24 Mac lalu, Bank Negara Malaysia meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada Maybank Berhad.



Ini bermakna kaunter perbankan Islam di Maybank akan berdiri sebagai satu anak syarikat Maybank yang mempunyai satu entiti berasingan daripada Maybank yang ada pada waktu ini.

Menurut laporan itu lagi, Bahagian Perbankan Islam Maybank mempunyai pemilikan aset berasaskan syariah bernilai AS$6.4 bilion, menjadikan ‘Maybank Islamic’ sebagai penyedia perkhidmatan perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik.

Pertumbuhan industri perbankan Islam semakin rancak dengan beberapa bank luar negara seperti Citibank dan HSBC Bank dilihat sentiasa memperkemaskan produk perbankan Islam mereka.

Perkembangan pesat perbankan Islam di Malaysia dilihat pemerhati dan pengamal perbankan Islam dari pelbagai sudut. Antaranya, ia melambangkan keterbukaan masyarakat Malaysia menjadikan perbankan Islam mudah diterima.

Kedua, cuaca pelaburan yang memberangsangkan di Malaysia meyakinkan pelabur untuk melabur di negara ini. Faktor ini disokong rasa tidak yakin pelabur Asia Barat terhadap pelaburan di Barat lantaran fenomena mengaitkan Islam dengan keganasan.

Walaupun begitu, penulis berasakan perbankan Islam perlu menyelesaikan segera beberapa isu yang masih menyelubungi sistem itu. Ungkapan seperti ‘perbankan Islam salinan kepada sistem konvensional’ masih kedengaran di kalangan pendukung atau pelanggan setia perbankan Islam.

Contoh, kontrak BBA terus menjadi kontroversi kepada perbankan Islam. Ia kerap dilihat sebagai satu ciplakan kepada sistem riba dalam perbankan konvensional. Ramai berasakan kontrak BBA satu kontrak yang lemah menurut perundangan Islam.

Sebenarnya BBA singkatan kepada al-Bai' bi Thaman Ajil iaitu jual dengan pembayaran balik secara tangguh. Pihak penjual biasanya memperoleh keuntungan melalui harga tangguh berkenaan (modal campur keuntungan).

Sebagai contoh, pihak bank membeli barang daripada pembekal dengan harga modal secara tunai. Selepas itu, bank menjual kepada pihak pengguna dengan harga tangguh tertentu (modal + untung) untuk satu tempoh masa tertentu contohnya enam bulan.

Perbankan Islam di seluruh dunia menerima konsep ini. Kebanyakan ulama menerima konsep BBA dan murabahah termasuk ulama di Asia Barat. Kontrak ini adalah kontrak antara tiga pihak iaitu pembekal, bank dan pengguna akhir.

Walaupun begitu, BBA yang diamalkan di Malaysia bercampur dengan unsur lain menyebabkannya dipertikai perbankan Islam di Asia Barat. Antara unsur dimaksudkan ialah unsur bai' al-'inah dan menjual sesuatu yang belum wujud (bai' al-ma'dum).

  • Pembiayaan peribadi

    Kontrak ini terjadi apabila seseorang (contohnya si B) yang inginkan wang tunai mengunjungi sebuah perbankan Islam. Bank A menjual sebahagian asetnya kepada pelanggan B dengan harga RM10,000 secara tangguh atau hutang untuk tempoh lapan tahun contohnya.

    Selepas itu, Bank A akan membeli semula aset berkenaan dengan harga RM6,000 secara tunai. Dengan itu, pelanggan B perlu membayar lebihan RM4,000 dalam tempoh itu.

    Sebenarnya kontrak di atas mengandungi dua kontrak. Pertama, Bank A menjual aset kepada pelanggan B. Kedua, pelanggan B menjual balik aset itu kepada bank A. Tujuan pelanggan B ialah mendapatkan wang tunai dan bukannya aset bank. Inilah konsep yang dipakai untuk pembiayaan peribadi.

  • Pembiayaan rumah sedang dibina

    Perkara lain yang dipertikaikan ialah konsep BBA dalam pembiayaan perumahan yang sedang dalam pembinaan. Kebanyakan konsep dilaksana ialah pihak bank membeli hak ke atas rumah sedang dibina daripada pihak pemaju.

    Selepas itu bank menjadikan ‘rumah yang sedang dibina’ sebagai satu sekuriti yang kemudian diiktiraf sebagai aset terasing bernilai dan kemudian dijual kepada pelanggan dengan harga tangguh (modal + untung) menggunakan konsep BBA tanpa menghiraukan rumah itu terbengkalai atau lambat pembinaannya. Segala risiko pembinaan dipikul sepenuhnya oleh pelanggan.

    Konsep ini menimbulkan kontroversi besar di kalangan ulama Islam. Pertama, adakah sekuriti itu haq maliy yang terasing daripada aset sebenar? Haq maliy di dalam Islam sebenarnya terikat secara terus dengan aset yang wujud.

    Dalam kes di atas, aset sebenarnya belum wujud (masih dalam pembinaan). Atas dasar itu, kebanyakan ulama khususnya di Asia Barat berpegang bahawa haq maliy pada rumah berkenaan berbentuk al-dayn (hutang).

    Berdiri di atas pandangan boleh menjual dayn mustaqir (hutang yang diyakini boleh bayar), bank tidak boleh menjual hutang dengan harga lebih tinggi atau lebih rendah. Sebarang perubahan pada harga membawa kepada mengambil riba.

  • Pembiayaan rumah siap

    Kedua ialah tiada bukti diiktiraf perundangan Malaysia yang menunjukkan bank membeli rumah siap sebelum menjualnya kepada pelanggan. Kebanyakan bank hanya menyediakan dokumen menunjukkan pemilikan mereka terhadap rumah itu.

    Kes mahkamah yang lampau membuktikan bagaimana mahkamah di Malaysia tidak melihat adanya transaksi pindah milik rumah daripada kontraktor kepada bank. Hasilnya, segala transaksi bank dilihat sebagai memberikan pinjaman wang kepada pelanggan dengan kadar bunga tertentu.

    Penulis tidak berhasrat mempertikai keputusan dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah bank atau Majlis Penasihat Syariah Bank Negara. Namun, liberalisasi perbankan Islam di Malaysia diharap menjadi lonjakan kepada satu arus baru perbankan Islam.

    Ada bank yang mula melakukan anjakan dengan menawarkan produk berbentuk perkongsian risiko berpandukan konsep ‘al-ghunm bi al-ghurm’ iaitu ‘perolehan melalui risiko’.

    Penawaran konsep yang mempunyai hujah lebih kuat) seperti musyarakah mutanaqisah bagi pembiayaan perumahan, diharap dapat menceriakan pelanggan setia perbankan Islam.

    Mengikut konsep ini, sesebuah bank Islam dan pelanggan akan berkongsi membina rumah. Rumah itu disewakan dan keuntungan daripada sewa dibahagikan antara bank dan pelanggan bergantung kepada jumlah modal masing-masing.

    Pada masa sama, pelanggan boleh membeli bahagian bank sedikit demi sedikit untuk membolehkan mereka menguasai keseluruhan rumah itu.

    Kesimpulannya, liberalisasi dan pertambahan jumlah perbankan Islam di Malaysia seharusnya dilihat dan dianalisis secara teliti.

    Kemasukan perbankan Islam dari Asia Barat sebenarnya suatu interpretasi ketidakupayaan prinsip perbankan Islam versi Malaysia diyakini sepenuhnya pelabur syariah tegar dari Asia Barat.

    Lantaran itu, Bank Negara Malaysia meneruskan langkah bijak dengan menawarkan dan meluluskan bank Islam Asia Barat untuk beroperasi dan memilih prinsip syariah yang diyakini mereka.

    Secara tidak langsung, bank Asia Barat akan membawa masuk pelaburan dari sana.

    Operasi bank Asia Barat diharapkan membawa arus perubahan kepada prinsip perbankan yang sedang digunakan.

    Pelanggan mengharapkan perbankan Islam yang benar-benar mengutamakan ‘kesahan’ kontrak menurut syariah. Mereka juga mengharapkan konsep kerjasama, tolak ansur dan risiko menjadi asas kuat perbankan Islam berbanding perbankan konvensional.

    Penulis ialah Pensyarah Kanan Perbankan dan Kewangan Islam, merangkap Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia.


    INTI PATI:

  • Beberapa bank luar negara dilihat sentiasa bersaing bagi memperkemaskan produk perbankan Islam menunjukkan pertumbuhan industri perbankan Islam semakin rancak.

  • Tindakan Barat mengaitkan Islam dengan keganasan menyebabkan kebanyakan pelabur Asia Barat beralih kepada Malaysia.

  • Perbankan Islam perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti anggapan ‘perbankan Islam salinan kepada sistem konvensional’.

  • Kemasukan perbankan Islam dari Asia Barat membayangkan ketidakupayaan prinsip perbankan Islam versi Malaysia diyakini sepenuhnya pelabur syariah terutama dari Asia Barat.

  • Pelanggan perbankan islam mengharapkan sistem yang benar-benar mengutamakan ‘kesahan’ kontrak menurut syariah. Mereka juga mengharapkan konsep kerjasama dan sistem yang lebih bertolak ansur berbanding perbankan konvensional.