Sunday, November 19, 2006

impian setiap orang

Sudah menjadi istilah dan fahaman umum, bahawa untuk menyebut atau menggambarkan seorang lelaki yang baik itu ditinjau dari segi perilaku dan keagamaannya, maka penggunaan istilah “Lelaki Soleh” adalah amat tepat. Manakala, untuk wanita “wanita solehah” hingga kedua-dua istilah ini merupakan istilah yang telah umum bagi setiap peribadi yang mempunyai sifat-sifat yang terpuji.

Orang ramai sering keliru dalam menamakan seseorang lelaki sebagai lelaki yang soleh; kadang-kadang mereka mempunyai pandangan dan penilaian yang terlalu sempit sehingga menyebabkan berlaku salah faham yang pada akhirnya mengubah pandangan sebahagian besar masyarakat. Orang ramai menganggap bahawa lelaki yang soleh itu gambarannya pada pakaian yang dipakai. Maknanya, pak Arab sentiasa baik la kan?dengan jubah yang dipakai tu? Realitinya tidak semestinya begitu. Sebenarnya, masih banyak lagi pensyaratan lain yang sepatutnya dimiliki seseorang lelaki sehingga melayakkan dirinya dinamakan lelaki yang soleh. Lelaki soleh, tidaklah semestinya memakai ketayap dikepala dan jubah putih setiap hari. Pakaian tidak menggambarkan betapa solehnya seseorang itu. Cukup dengan menutup aurat dengan baik. Tapi, terpulanglah kepada individu untuk menilainya.

Pengertian soleh menurut Islam tidak sama pengertian “soleh” bagi tanggapan umum majoriti umat Islam. Kesolehan seseorang selalu dinilai oleh umat Islam dari segi penampilan zahiriah sahaja, seperti cara dan model pakaian dan dari pengamalan ibadat khusus semata-mata. Pada hal-hal tersebut, baru sahaja sebahagian daripada aspek kesolehan yang sebenarnya. Kesolehan tidak boleh diukur dari satu sudut sahaja.

Umat Islam yang bertakwa mungkin boleh diertikan sebagai umat yang soleh. Seseorang yang beriman dan berbuat amal soleh adalah ciri-ciri utama “kesolehan” menurut Al-Quran. Namun, untuk memahami keimanan dan amal soleh yang disebut oleh al-Quran itu tidak mungkin diperolehi melainkan setelah dihuraikan secara terperinci, kerana ungkapan tersebut adalah secara ringkas tapi masih memerlukan penerangan lebih luas dan lebih mendalam.

Salah satu gambaran yang diberikan oleh al-Quran tentang sifat-sifat orang beriman ialah seperti dalam firman Allah dalam surah al-Asr yang bermaksud : “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, melainkan orang mukmin, dan orang yang beramal soleh dan mereka yang saling memberi nasihat(wasiat) dalam hal kebenaran dan kesabaran”.

Selain itu, tahap kesolehan itu sendiri tak sama. Kesolehan para nabi dan rasul adalah yang tertinggi, kesolehan pada Siddiqin(para sahabat) pula lebih tinggi daripada para tabi’in dan tabi’ tabi’in, demikian juga taraf yang dicapai oleh para wali Allah, syuhada dan ‘abidin. Kesemua golongan ini tergolong dalam kategori orang yang soleh, tapi taraf dan peringkat mereka berlebih kurang, bahkan kesolehan orang awam pun tidak sama, ada yang sampai ke taraf wali Allah sedangkan sesetengahnya hanya sekadar orang soleh biasa.

Kesolehan itu, boleh dibahagi kepada dua bahagian. Pertama, kesolehan yang diberikan Allah tanpa terlebih dahulu melalui kerja keras dan pelbagai kepayahan dan rintangan. Kedua, kesolehan yang diperoleh daripada usaha dengan susah payah dan melalui segala macam jenis cubaan dan dugaan. Kesolehan para nabi, rasul, sesetengah para sahabat dan wali Allah adalah dipilih dan ditetapkan oleh Allah. Sedangkan kesolehan sesetengah yang lain (kalangan para sahabat), juga wali dan orang awam adalah bergantung kepada usaha, iaitu usaha dan kerja keras(beramal dan mujahadah). Biasanya kena terlebih dahulu menempuh pahit getir cubaan dan dugaan yang bertali arus sebelum diangkat sebagai hambaNya yang soleh.

Maka, kita sebagai manusia awam ini, sekalipun tidak mustahil beroleh kurnia tanpa usaha untuk sampai ke peringkat “soleh”, tapi yang pasti kita masih ada peluang untuk sampai ke peringkat lelaki yang soleh. Sudah pasti, kita perlu bersedia untuk menempuh segala cubaan dan dugaan yang datang kepada kita termasuk pengorbanan kepentingan dunia dan tunduk kepada hawa nafsu. Pintu masih terbuka luas buat kita untuk menjadi orang soleh asalkan kita benar-benar mahu berusaha ke arah itu ( peringatan untuk aku sendiri gak)….
Jika kita lihat, dalam era globalisasi di kurun ke-21 ini, umat Islam khususnya berhadapan dengan pelbagai dugaan, godaan dan pengaruh, sama ada dari dalam atau luar dirinya, yang mencabar mereka daripada menjadikan diri mereka sebagai orang soleh, mereka dilalaikan dengan perkara remeh-temeh daripada perkara keutamaan, lalu mereka menyimpang ke dalam perangkap itu. Akibatnya, manusia jadi hilang arah tuju dan matlamat hidup yang sepatutnya dilakukan oleh seorang muslim dalam mempergunakan hidupnya dan meletakkan dirinya sebagai hamba Allah, sekaligus sebagai Khalifah Allah di bumi.

Untuk menjadi seorang yang soleh, tidak cukup sekadar mengetahui dan menghafal ciri-ciri dan sifat-sifat orang soleh. Apa yang penting adalah, berusaha untuk turut terlibat dalam hidup dan kehidupan orang soleh serta turut mengambil bahagian yang sesuai menurut kemampuannya.

Mungkin juga masa ada jurang yang lebar antara ilmu tentang kesolehan dengan kehidupan orang soleh itu sendiri, sepertimana adanya jurang antara suatu ilmu pengetahuan dengan amalan atau praktik dari ilmu tersebut. Saya sendiri pun tidak mengamalkan kesemua ilmu dalam kejuruteraan elektik dan komputer yang diajar semasa masih menuntut di Universiti. Mungkin hanya 10%-20% sahaja.

Antara jalan yang baik untuk menjadi orang yang soleh ialah, bergaul dengan orang yang soleh. Kerana kesolehan itu bukanlah sekadar pengetahuan, tetapi adalah gabungan antara ilmu dan amalan. Malah, orang yang soleh lebih banyak dikaitkan dengan pengalamannya berbanding dengan keilmuannya. Di sini seakan-akan masih ada beberapa darjat (lebih tinggi) pada pengalaman ilmu, kerana barangkali ia dilihat dari segi perjuangan dan pahit jerih yang mesti ditempuh untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari itu. Hal ini hanya segelintir orang yang mampu melaluinya dengan selamat, bahkan ia jauh lebih kecil jumlahnya daripada orang yang hanya menyimpan ilmu di dalam dadanya sahaja.

Mengamalkan sesuatu ilmu tidaklah mudah, lebih-lebih pula jika ia dilakukan tanpa bimbingan secara langsung, khususnya dalam bentuk yang dapat dipandang dan diikut jejaknya oleh guru, khususnya guru yang bertaraf “mursyid”. Keadaan ini berlaku hanya berlaku apabila kita mendapat pendedahan dari guru secara langsung, iaitu ada teori dan praktiknya. Inilah jalan yang membolehkan guru menegur dan sekali gus menunjukkan di mana kesilapan yang dilakukan oleh pelajarnya. Begitu besar tanggungjawab seorang guru untuk membantu anak muridnya menjadi orang yang berguna dan soleh.

Topik ini terlalu luas untuk dicerita dalam satu artikel seperti ini. Sampai esok pun belum habis lagi. Insyaallah, untuk seterusnya saya cuba untuk berkongsi info mengenai Kejaiban Kejadian manusia, sifat-sifat umum kaum lelaki, bagaimana membina personaliti unggul untuk menjadi lelaki soleh. Garapan kesemua elemen ini, insyaallah akan memberikan gambaran yang lebih jelas kepada kawan-kawan, terutamanya lelaki. Ini tak bermakna, ia tidak sesuai untuk perempuan.sapa-sapa pun bleh baca.


Artikel ini ditulis dengan merujuk kepada buku “Tips menjadi Lelaki paling Bahagia, Berjaya di dunia dan bahagia di akhirat”…salam.

No comments: