Tuesday, December 26, 2006

Sifat-sifat Umum Kaum Lelaki

Kali ni lak, aku nak cerita pasal sifat-sifat umum kaum lelaki. Perwatakan umum lelaki :

1) Kurang sabar dalam memelihara dan mendidik anak-anak

2) Lelaki berorientasikan kepada fikiran(bukan hati).

3) Keras kemahuannya dan kasar perlakuannya

4) Mudah terpedaya oleh wanita

5) Selalu ingin berkuasa

6) Tidak mahu diatasi

7) Suka dipuji dan dipuja

Sifat Pertama – Kurang sabar dalam memelihara dan mendidik anak-anak

Lelaki sifatnya kurang sabar dalam mengasuh dan mendidik anak-anak. Berbeza dengan si ibu yang memang penyayang terhadap anak-anaknya. Lelaki kekadang memukul anak disebabkan kesalahan yang kecil. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa masih ada di kalangan para suami yang lembut(bukan lembut ala-ala mak nyah), sabar dan pandai mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Bahkan, adakalanya lebih lembut dan sabar daripada isterinya. Tetapi, jumlahnya mungkin tak ramai. Memang bernasib baiklah jika dapat suami cam ni. Kalau tak dapat, jangan berkecil hati, sebab ada la tu kelebihan dia yang lain yang mungkin isteri tak tau lagi.

Fitrah wanita, mempunyai sifat kasih sayang yang kuat terhadap anak-anaknya. Sejak hamil lagi, Allah telah menurunkan kasih dan sayang dalam diri seorang ibu, meskipun anak masih berbentuk janin. Perasaan cinta semakin lama semakin mendalam (aik, cam lagu safura lak..hehehe). Kegembiraan terpancar bagi si ibu apabila mampu melahirkan anaknya dengan selamat, dan sempurna tanpa kecacatan. Hati seorang isteri dan ibu ini kini betul-betul diliputi kegembiraan dan kecintaan, siang dan malam dilalui dengan letih dan penat, mengasuh dan menyusui si anak kecil tanpa keluhan. Memang betul. aku dapat lihat pada diri kakak aku…Ada pun seorang ayah(suami), mampukan ia mengerjakan tugas seberat itu tanpa mengeluh dan marah. Tertonjolkan sifat kurang sabarnya! Suami mungkin menimang dan membelai anaknya kalau anak sudab bersih, sudah mandi dan sudah harum. Apabila si anak kencing atau buang air besar, cepat-cepat si suami memberi semula kepada isterinya. Tapi, tak semua la lelaki cam tu..nasib korang la dapat suami cam ne nanti. Hehehe..

Sifat Kedua – Lelaki Lebih Berorientasikan Fikirannya

Akal fikiran lelaki lebih panjang daripada wanita. Ia jelas kelihatan dalam apa-apa pertimbangan dan kesimpulan-kesimpulan yang dihasilkannya. Segala masalah dan kemusykilan tidak akan diputuskan kecuali setelah berfikir panjang.

Pertimbangan seorang yang bernama lelaki tidak terlepas dari perhitungan untung dan rugi, buruk dan baiknya sesuatu itu. Sehingga bila ia berhadapan dengan keluarganya, kawan-kawan, semua itu tidak terlepas dari perhitungan untung, rugi, baik dan buruknya. Berbeza sekali dengan kaum wanita. Asalkan wujud perasaan suka dan puas, asalkan hati gembira dan menyenangkan, cukuplah memadai baginya sebagai jalan yang diambilnya untuk menyelesaikan sesuatu masalah dirinya dan juga berkaitan dengan apa yang dihadapinya. Pendek kata, banyak mengikut hati daripada fikiran. Pertimbangan untuk masa depan dan hari esok sedikit sekali dipersoalkan. Bila suatu akibat buruk menimpa dirinya, barulah menyesal dan fikirannya baru mengatakan “cuba kalau beginikan..tidak begitu jadinya”. Tapi, dah terlewat, tidak ada maknanya lagi.

Nasihat kepada para lelaki, jangan terus aje terima bulat-bulat keputusan pun selagi, kita sendiri tidak berfikir. Bukan tidak percayakan mereka. Tetapi, anugerah akal fikiran yang panjang perlu digunakan dalam keadaan ini. Skop fikiran lelaki dan perempuan berbeza untuk sesuatu masalah, dan jawapannya nanti sudah tentu ada perbezaannya.

Sifat Ketiga – Lelaki Lebih Agresif dan Kasar Aksinya

Lelaki memang sifatnya agresif, aktif dan lebih cepat serta kasar perlakuannnya daripada wanita. Wanita pula lebih bersifat lambat dan lembut, kurang memberi inisiatif, bersifat pasif dan menunggu serta suka menerima dari memberi. Perwatakan lelaki lebih ketara apabila kita memperhatikan fungsi lelaki sebagai pengambil inisiatif dan pemberian sperma yang bila-bila masapun siap untuk diberikan, sedangkan kaum wanita menyediakan ovum yang tidak sentiasa subur. Walau bagaimanapun, penilaian ini bersifat relatif, subjektif dan conditional. Adakalanya wanita lebih kasar dari lelaki(yang berjiwa lembut).

Sifat Keempat – Lelaki mudah terpedaya oleh wanita

Wanita adalah perhiasan hidup, menduduki ranking teratas. Rujuk surah Ali-Imron 3:14 yang bermaksud “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternakan dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan disisi Allahlah tempat kembali yang terbaik”.

Sepanjang sejarah kemanusiaan, wanita telah menjadi top hit dunia, sumber perbincangan dan kekacauan serta sumber perpecahan. Malapetaka yang terjadi akibat wanita, sejak dahulu hingga sekarang kini tidak lagi menjadi rahsia. Rosaknya lelaki dan hancurnya generasi, bersumberkan daripada wanita. Habil dan Qabil pun berbunuhan disebabkan wanita. Rasullah pernah bersabda, yang maksudnya : “Aku tidak meninggalkan di belakangku suatu fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada fitnahnya wanita”.

Wanita mempunyai daya dan kemampuan mempersona yang sangat kuat. Kecantikan, kelembutan dan ransangannya sungguh memukau dan menakjubkan bagi kaum lelaki. Tak ramai yang mampu menyelamatkan diri mereka dari godaan dan gangguannya. Yang ramai adalah yang diheret oleh wanita ke lembah malapetaka yang sangat dalam. Hal ini adalah kerana perbuatan wanita dan keruntuhan akhlak manusia umumnya, disebabkan oleh kaum wanita yang buruk dan tidak bermoral. Oleh itu, sentiasalah berhati-hati. Walau bagaimanapun, bagi wanita solehah, dia tidak termasuk dalam kreteria wanita yang disebutkan sebelum ni, sebaliknya ia adalah perhiasan dunia yang terbaik di atas muka bumi ini. J

Sifat Kelima – Lelaki berkemahuan kuat untuk berkuasa dan memimpin

Jika dilihat pada kisah-kisah para Nabi dan Rasul-rasul, bagaimana berlaku konflik dan permusuhan mereka dengan para penguasa, memenuhi lembaran wahyu dan sirah perjalanan para Nabi dan Rasul. Contohnya Nabi Ibrahim dan Raja Namrud, Nabi Musa dan Firaun. Pertumpahan darah tidak dapat dielakkan, pembunuhan dan pembantaian bukanlah perkara rahsia. Segala cara menjadi halal, seakan-akan tidak ada perkara haram demi mencapai tujuan. Tak kira wanita atau lelaki, semuanya akan terlibat atau dilibatkan.

Itulah adalah contoh kemahuan seorang lelaki untuk menjadi penguasa kerana mahukan kekuasaan. Apapun yang diperlukan, jalan manapun yang dihajatkan demi memperoleh kekuasaan, betapa berat dan sulitnya akan ditempuh demi menjadi penguasa. Apabila telah mendapatkannya, tidak ada satu janjipun yang dipenuhi kecuali sangat sedikit. Rakyat yang menyokongnya tidak pernah terkenang dalan fikirannya, sebaliknya dijadikan mangsa kezaliman dan penindasan.

Sifat Keenam – Lelaki tidak mahu ada persaingan dan pencabar

Sifat dengki atau hasad telah mendorong kepada permusuhan dan pertentangan, bahkan pembunuhan. Sifat dengki itu wujud disebabkan seorang lelaki itu tidak mahu adanya persaingan dan pencabar oleh pihak yang lain. Jika ada yang mencuba dan berusaha ke arah itu, maka dia akan mempertahankan posisinya dengan apa cara sekalipun.

Cuba lihat kisah nabi yusof dan adik-beradiknya. Bagaimana sanggupnya adik-beradik membuang Nabi Yusof dalam telaga. Hal ini adalah kerana mereka merasakan disaingi dan dilampaui kasih sayang oleh ayahnya kepada nabi yusof. Begitu juga Rasullah S.A.W, dimusuhi dan dibenci oleh saudara maranya sendiri, kerana yakin bahawa mereka betul, lebih lurus agamanya dan lebih berhak memegang kekuasaan. Banyak kisah-kisah nabi yang berkaitan dengan kekuasaan. Baca-bacalah ya..

Sifat ketujuh – Lelaki suka dipuji dan disanjung

Siapa kata perempuan saje suka dipuji, disanjung? Lelaki pun sama. Watak suka dipuji, suka dikenali orang, menyukai populariti, suka pangkat dan suka dihormati adalah perwatakan yang dimiliki oleh seorang lelaki.

Melalui kedudukan dan pangkat, dia akan menjadi perhatian orang ramai, mendengar segala arahannya serta mentaati perintahnya. Tambahan pula, dengan adanya kedudukan, ia akan menjadi terkenal dan popular. Dengan pangkat dan kedudukan juga, ia merasakan dirinya terbebas dari celaan dan penhinaan orang, dialah yang terbaik, yang terpandai. Ia kan dipuji dan dihormati orang. Lelaki itu sanggup berbohong, menipu kepada orang ramai asalkan tercapai apa yang diinginkan.

Golongan lelaki yang amat suka jika dirinya dipuji, diagungkan adalah para penguasa dan mereka yang berada di puncak tampuk pemerintahan. Untuk itu, ia tidak segan-segan menyebutkan dirinya atau meminta namanya dipanggil dengan panggilan yang sejajar dengan panggilan Allah. Contohnya, panggilan “Shahhan Shah”(Raja segala raja). Itulah antara variasi karenah makhluk Allah yang bernama manusia (dan lelaki).

Dalam skop kekeluargaan, pujian daripada isteri dan ahli keluarga lain kepada si suami sebenarnya menjadi pendorong semangat dan memberi synergy kepada suami untuk terus berusaha menjadi pemimpin keluarga yang baik. Tetapi, jangan terlebih puji pulak.

Next posts adalah mengenai topic bagaimana membina personality unggul untuk menjadi lelaki soleh. 28 ciri asas akan diceritakan, satu persatu. Tunggu ya!

Wednesday, December 20, 2006

'Burqini' baju mandi untuk wanita Islam

WANITA Islam yang bercuti bersama keluarga di pusat peranginan terutama di negara ini selalunya dilihat memakai baju-T, seluar panjang dan bertudung ketika di kolam renang.

Pakaian berkenaan memang tidak sesuai dan menyusahkan si pemakainya. Sebab itu kebanyakan pengurusan hotel dan pusat peranginan tidak membenarkan pelanggan memakai pakaian seperti itu untuk mandi di kolam renang mereka.

Menyedari masalah dihadapi wanita Islam untuk bersukan dan beriadah, seorang rakyat Lubnan yang menetap di Sydney, Australia, Aheda Zanetti mencipta pakaian renang menutup aurat untuk wanita Islam dipanggil ‘burqini’.

Penulis bersama sekumpulan wartawan Malaysia yang menyertai lawatan ke Australia anjuran Institut Australia-Malaysia (AMI), baru-baru ini berkesempatan menemui Aheda di Condell Park, Sydney untuk melihat sendiri hasil ciptaannya.

Aheda berkata, idea untuk mencipta pakaian khas itu timbul apabila dia melihat seorang wanita memakai tudung bermain bola jaring.

“Saya kasihan melihatnya berpeluh-peluh ketika bermain,” katanya yang juga bertudung ketika itu.

Beliau kemudian mendapat ilham untuk mencipta ‘burquni’, pakaian wanita Islam yang menutup aurat yang boleh digunakan untuk berenang dan bersukan.

Pakaian berjenama ‘Ahiida’ itu diperbuat 100 peratus daripada kain polyester dan kalis air. Ia mudah kering, ringan dan selesa, jadi tidak ada masalah kepada pemakainya berendam lama dalam air.

Aheda berkata, sejak diperkenalkan pada November 2003, beliau tidak menang tangan melayan permintaan pengguna yang banyak dari Poland, Switzerland, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom, yang sebahagian besarnya membuat tempahan melalui internet.

Katanya, pelanggan dari Malaysia dan Indonesia agak kecewa kerana harganya agak mahal iaitu antara RM420 dan RM518. Selepas memperkenalkan produk berkenaan, beliau terkejut kerana sambutan yang diterimanya di luar jangkaan.


Bagaimanapun, ada juga yang mengkritiknya kerana berpendapat pakaian renang dan sukan itu akan menggalakkan wanita Islam keluar rumah.

Aheda, 48, berasal dari Lubnan dan kini menjadi pemastautin tetap (PR) Australia mempunyai empat anak, tiga daripadanya berusia di bawah lima tahun tidak menghadapi masalah membawa mereka berenang di kolam renang.

Selain pakaian renang, beliau juga mereka cipta baju dan seluar pemain tenis wanita yang tidak panas dan selesa.

“Tahun lalu saya menaja pakaian atlit wanita dalam ekspedisi amal berbasikal dari United Kingdom ke Baitulmaqdis,” katanya yang berharap dapat menghasilkan pakaian renang lelaki muslim pula selepas ini.

Remaja patut fahami perubahan diri sendiri


TELITI: Sebahagian pelajar tekun mendengar penerangan pada
Seminar Kesihatan Reproduksi Remaja, baru-baru ini.




Ibu bapa wajar berterus terang jika anak mula bertanya hal seksual, elak dapat maklumat sumber lain

DUNIA remaja itu seronok jika diisi dengan perkara berfaedah. Tetapi, kesilapan kecil akibat kecuaian dan tidak berfikir sebelum bertindak, boleh mencalarkan keseluruhan kemanisan hidup ini.

Laporan Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja 2003 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan peratusan remaja membabitkan diri dalam hubungan seks luar nikah adalah tinggi.

Selain laporan yang dibuat berdasarkan hasil penelitian lebih 250 penyelidikan dan bahan bertulis itu juga mendapati remaja berisiko tinggi terbabit dalam seks tanpa perlindungan sewajarnya termasuk melanggan pelacur untuk mendapatkan pengalaman seksual kali pertama.

Ini bukan saja mengejutkan tetapi terlalu menyedihkan!

Justeru, Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh 2000) dan Jabatan Pengurusan Kejururawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menganjurkan Seminar Kesihatan Reproduksi Remaja di HUKM yang sudah pun masuk siri ke-3, baru-baru ini.

Pakar Ginekologi yang juga Naib Presiden Mamaneh, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj dalam kertas kerja bertajuk Rahsia Alam Remaja menyatakan, kebanyakan remaja amat tertarik membincang atau mengetahui hal seksualiti serta fungsi tubuh badan mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu mendapatkan maklumat mengenai perkara itu daripada sumber yang betul.

Beliau berkata, secara dasarnya lelaki baligh pada usia 10 hingga 14 tahun sementara perempuan pada usia sembilan hingga 13 tahun.

Pada peringkat inilah, katanya, berlaku konflik dalaman kerana perubahan tubuh badan semakin berubah.

“Secara umumnya remaja akan menghadapi perubahan mendadak seperti tumbesaran, kulit berminyak atau berjerawat, perasaan berahi, mood serta kecenderungan terhadap silang jantina. Perubahan emosi juga semakin ketara umpamanya lebih peka terhadap rangsangan seks membabitkan imaginasi dan fantasi.

“Perubahan ini bukanlah perkara pelik kerana selalunya ibu bapa menjadi pembimbing anak remaja mereka, tetapi tidak dinafikan ada segelintir cenderung mendapat maklumat daripada rakan sebaya, laman web atau sumber yang belum pasti kesahihannya,” katanya pada seminar berkenaan.

Beliau berkata, memahami perubahan dan diri sendiri adalah perlu kerana ia membolehkan remaja menghargai diri sendiri.

“Setiap manusia melalui proses sama daripada kecil hingga ke alam dewasa dan perasaan itu adalah naluri semula jadi yang tidak boleh disekat, ia bukanlah sesuatu yang jengkel.

“Setiap manusia melalui perubahan baik dari segi fizikal, emosi, fisiologi dan seksual. Sewaktu proses peralihan ini ia membawa sama pelbagai masalah baru. Ketika inilah remaja perlu dibimbing diyakini dan dicurahkan kasih sayang supaya dapat memahami dan menerima perubahan itu secara semula jadi menuju alam dewasa,” katanya.

Dr Harlina berkata, perubahan kendiri yang selalu berlaku ketika itu termasuklah rasa cemas dengan perubahan, bingung selain selalu bertanya soalan seperti “adakah saya normal?”; “adakah saya normal berbanding rakan yang lain,?”.

“Tidak dinafikan segelintir ibu bapa membiarkan anak membesar sendiri sedangkan mereka perlu bersikap lebih terbuka. Cabaran mendidik anak hari ini berbeza, dengan pelbagai pengaruh luar termasuk media cetak dan media elektronik menyebabkan ibu bapa memerlukan perubahan bila membincangkan hal ini,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya berterus terang dan memberi penjelasan tanpa berselindung apabila anak mula bertanya hal seksual kepada mereka.

“Jangan pisahkan ia daripada agama seperti kenapa berzina diharamkan dan hikmah larangan itu,” katanya.

Dr Harlina berkata, mendidik anak lelaki dan perempuan sama perlunya kerana melakukan jenayah seksual seperti rogol adalah lelaki justeru mereka patut diajar menghormati wanita.

“Jangan kata lelaki tidak apa kerana mereka yang banyak merogol. Fahami perubahan anak, ketahui peribadi, perangai serta perasaan mereka. Pada masa sama, komunikasi senjata paling penting sebab perlakuan sumbang yang berlaku sekarang salah satu puncanya tiada komunikasi.

“Ada ibu bapa langsung tidak memberi ruang atau perhatian kepada anak meluahkan isi hati atau berbincang. Jika anak ini beralih kepada rakan atau orang lain, yang mahu mendengar masalah apa akan jadi sekiranya ia terarah kepada yang tidak baik,” katanya.

Pakar sakit puan, Dr Norzilawati Naim berkata, pendidikan seksualiti perlu dilakukan daripada awal. Ia diteraskan kepada kesihatan, fungsi badan atau alat seksual badan.

Beliau berkata, penjelasan seharusnya secara objektif dan saintifik tetapi mudah supaya mereka senang faham seperti menunjukkan gambar rajah organ manusia dan jelaskan fungsi tubuh badan supaya ia digunakan serta dijaga dengan baik.

“Daripada ovari, uterus , alat kelamin dan sebagainya, jelaskan apakah fungsi setiap satunya? Penjelasan mengenai datang bulan atau baligh tidak perlu mendalam seperti doktor sebaliknya sekadar menerangkan ia petanda sudah baligh dan sudah bersedia mengandung justeru perlu berhati-hati.

“Kanak-kanak akan mula bertanya, dan ibu bapa perlu menerangkan menerusi pendekatan sesuai. Pendidikan seksualiti juga mengajar anak bertegas memberitahu orang lain bahawa mereka tidak mahu disentuh atau dipegang,” katanya.

Beliau berkata, jika ibu bapa gagal mendedahkan pengetahuan seksual kepada anak, mungkin mereka mempelajarinya daripada sumber lain seperti rakan dan media yang boleh memberikan gambaran salah faham dan mengelirukan.

Mengulas mengenai pengguguran, Dr Norzilawati berkata, keguguran adalah keadaan di luar kawalan.

“Kandungan tidak berkembang sementara pengguguran adalah satu prosedur atau kaedah menamatkan riwayat kandungan yang sedang berkembang.

“Pengguguran selamat dilakukan pengamal perubatan terlatih menggunakan kaedah saintifik dalam persekitaran yang terjamin bersih,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengguguran tidak selamat apabila dilakukan oleh bukan pengamal perubatan terlatih atau menggunakan kaedah yang tidak saintifik dalam persekitaran yang tidak terjamin kebersihannya.

“Dalam hal ini komplikasi atau masalah yang boleh timbul termasuklah kematian, kehilangan darah, jangkitan kuman dan kecederaan pada organ pembiakan. Kebanyakan disebabkan kehamilan yang tidak dikehendaki,” katanya.

Ditanya adakah benar pengguguran satu kaedah merancang, beliau menjawab, “Sudah tidak kerana kaedah ini dianggap berisiko tinggi dan bukan satu kaedah merancang keluarga kerana ada nyawa yang diragut,”.

FAKTA: Hubungan seksual

Anda belum bersedia dengan hubungan seksual sekiranya:

  • Anda menyangka seks itu sama dengan cinta.

  • Anda berasa terpaksa

  • Anda takut berkata TIDAK

  • Anda menyangka semua orang melakukannya

  • Naluri anda menghalang hubungan berkenaan

  • Anda tidak tahu fakta mengenai kehamilan

  • Anda tidak terfikir seorang wanita boleh hamil daripada hubungan seksual yang pertama

  • Perkara itu bertentangan dengan nilai agama dan moral yang menjadi pegangan anda

  • Anda belum boleh berdikari dan menyara diri sendiri

  • Anda fikir hubungan itu akan menyebabkan anda menyintai pasangan dan juga sebaliknya

  • Anda dalam keadaan mabuk atau khayal

  • Anda menyangka orang muda tidak akan dijangkiti HIV/Aids

  • Anda bimbang ibu bapa mengetahuinya

  • Anda amat menghargai dara anda

    Kehamilan Remaja:

  • Risiko kematian bagi ibu berusia kurang 15 tahun adalah dua setengah kali ganda lebih tinggi dari ibu berusia 20 hingga 24 tahun.

  • Bayi kepada bayi berusia di bawah 15 tahun adalah dua kali ganda lebih mungkin lahir dengan berat kurang 2.5 kilogram.

  • Bayi kepada bayi berusia di bawah 15 tahun adalah tiga kali ganda lebih tinggi menghadapi risiko kematian dalam 28 hari pertama selepas kelahiran.

  • Kebanyakan ibu muda tidak mendapat jagaan antenatal yang baik dan pemakanan yang seimbang.

  • Kebanyakan ibu muda juga keciciran peluang untuk belajar dan mendapat pekerjaan yang baik.
  • Thursday, December 07, 2006

    10 rahsia kejadian manusia


    Allah telah mengurniakan beberapa keistimewaan kepada makhlukNya yang dipanggil manusia. Keistimewaan ini ialah grand design dan menjadi rahsia Allah yang tidak diceritakan kepada makhluk-makhlukNya yang lain, termasuklah para malaikat. Apabila malaikat menyoal Allah, adakah kemungkinan manusia akan membuat kerosakan dimuka bumi. Allah menjelaskan bahawa, kejadian manusia adalah untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini. Memang beruntung makhluk yang bernama manusia ini. Buktinya dapat dilihat dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud “Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Lalu para malaikat bertanya, ‘Apakah Engkau hendak menjadi di muka bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kali sentiasa bertasbih dan memuji Engkau?’ Allah menjelaskan; ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.
    Walau bagaimanapun, rahsia kejadian manusia itu Allah ceritakan dalam kalamNya yang teragung, iaitu Al-Quran.

    Rahsia Pertama – Allah sendiri Memuliakan manusia

    Allah sendiri telah memuliakan makhluk yang bernama manusia ini. Allah berfirman dalam Al-Quran(surah al-Isra : 70) yang bermaksud :
    Sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam(manusia) dan Kami tempatkan mereka di bumi dan di lautan serta Kami berikan kepada mereka dari jenis yang baik-baik. Dan Kami berikan mereka banyak kelebihan daripada makhluk-makhluk lain yang Kami jadikan.”

    Rahsia Kedua – Manusia dijadikan dengan Sebaik-baik Kejadian

    Allah berfirman dalam surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

    Sebaik-baik kejadian manusia termasuk dijadikan akal dan pancaindera yang boleh membina tamadun bumi ini. Makhluk lain tidak diberikan kelebihan akal ini. Kalau tidak, dah lama nelayan susah nak tangkap ikan.yelah, ikan-ikan bijak berfikir, tau orang nak tangkap. Tak ke susah manusia nak makan ikan.hehehe.

    Rahsia Ketiga – Manusia diberi Akal Fikiran

    Kemuliaan manusia kerana diberikan akal daripada Allah. Itulah kelebihan yang nyata manusia berbanding makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain. Rasullah S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud “makhluk yang mula-mula sekali dijadikan Allah ialah akal. Maka Allah berfirman kepadanya; ‘Menghadaplah kepadaKu’. Akal pun menghadap. Kemudian firmanNya lagi; ‘Membelakangilah Aku’. Lalu akal membelakang. Allah berfirman lagi mengenai akal; ‘Demi kemuliaan dan kebesaran Aku, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa.” (riwayat Tabrani dari Abi Umamah).

    Akal ialah makhluk yang mula-mula dijadikan dan termulia daripada makhluk lain. Dengan akal juga, manusia menjadikannya sebagai panduan dan neraca dalam hidup untuk mendapatkan pahala atau neraka. Di samping itu, dengan akal, iman, agama dan akhlak manusia akan menjadi sempurna. Mana-mana manusia yang menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan petunjuk, mendapatkan iman, membina akhlak dan panduan dalam hidup, maka manusia itulah yang mendapat martabat mulia dan tinggi di sisi Allah serta makhluk lain. Tetapi jika sebaliknya, maka tergolonglah manusia itu ke dalam golongan yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran sebagai yang lebih hina daripada haiwan. Rujuk Surah al-A’raf, ayat 179.

    Sabda Rasullah, yang bermaksud “Orang yang paling sempurna akalnya di antara kamu ialah orang yang paling takutkan Allah dan amat mengambil berat mengenai perintah dan larangan Allah walaupun dia melakukan amalan sunat sedikit.” (riwayat Ibnu Mahbar). Bagi orang yang menggunakan akalnya untuk berfikir, merenung, merancang dan menghasilkan sesuatu yang berguna, maka faedah pahalanya melebihi ibadah sunat setahun!


    Rahsia Keempat – Manusia dilantik Allah sebagai Khalifah

    Maksud khalifah ialah wakil atua pengganti. Apabila manusia dilantik menjadi khalifah di bumi ini, bermakna dia dilantik sebagai wakil bagi pihak Allah untuk mengurus dan mentadbir muka bumi mengikut peraturan yang telah ditetapkanNya. Jawatan ini hanya diserahkan kepada manusia, yang menunjukkan bahawa manusia memang makhluk Allah yang mempunyai darjat dan kedudukan tinggi pada pandangan Allah. Pentaulihan ini jelas diterangkan dalan al-Quran, surah al-An’am, ayat 165 yang bermaksud “Dan Dialah yang menjadikan kamu(manusia) sebagai khalifah di muka bumi ini.”

    Rahsia Kelima – Manusia Diatur Keturunan dengan Baik.

    Manusia sahaja yang diberi peraturan dan panduan dalam kekeluargaan. Makhluk lain tidak. Cuba tengok lembu, mana ada nak berkenal-kenalan, merisik, bertunang dan berkahwin, dan kemudian dapat anak. Lembu jantan main belasah aje, tanpa mengira lembu betina kepunyaan siapa pun. Tup…tup, lembu betina dah bunting (dengan izin Allah).Bapa lembu tak kisah dah(buat don’t know aje…). Kalau manusia mana boleh. Perlu ada ikatan perkahwinan. Dan zuriat yang dilahirkan berbin kan si bapanya. Hal ini ingin menjaga kerukunan hidup manusia itu sendiri.

    Rahsia Keenam – Manusia mempunyai tempat tinggal khusus dan Indah

    Kita ni sebenarnya diciptakan Allah dengan memiliki sifat kreatif. Kita mampu mempelbagaikan bentuk dan jenis tempat tinggal yang kita ingini(tak perlu ambil course senibina pun!). Manusia juga kreatif membuat pelbagai kerja untuk tujuan mencari nafkah. Tidak seperti binatang yang tidak ada tempat tinggal dan tidak kreatif membuat pelbagai jenis kerja. (kuda-kuda kat UTM.hidup mewah..kipas nak 24 jam,makan nak best-best..huhuhu)

    Maka tak hairan la manusia tinggal di rumah yang cantik, indah dan dihiasi pelbagai jenis perhiasan, perabot dan lain-lain. Bidang pekerjaan untuk mencari nafkah terlalu banyak, contohnya petani, tukang masak, guru, doktor, jurutera, pelukis dan lain-lain. Keadaan ini wujud hanya bagi manusia! Bayangkan kalau itik pergi keje, tak ke pelik tu!

    Rahsia Ketujuh – Manusia makhluk bermasyarakat

    Manusia dijadikan dalam pelbagai bangsa dan bersuku. Mereka boleh berkenalan, hidup rukun dan aman, malah suka membantu. Pendek crite, manusia boleh membentuk masyarakat la.

    Rahsia Kelapan – Manusia diberi kuasa memilih

    Manusia diberi keisitmewaan untuk memilih jalan hidupnya, sama ada untuk hidup bahagia atau terseksa, sama ada di dunia atau akhirat. Manusia tidak pernah dipaksa. Mereka memilih sendiri jalan hidup, dan akan bertanggungjawab terhadap jalan hidup yang dipilihnya. Agama atau pegangan hidup bagi manusia juga sesuai dengan fitrah dan sifat semulajadinya.
    Allah berfirman yang bermaksud: “ Tidak ada paksaan dalam agama.Sesungguhnya telah jelas dan nyata jalan kebenaran dan jalan kesesatan.Siapa yang menolak jalan taghut dan memilih jalan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali Allah yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah : 256) .

    Rahsia Kesembilan – Kemuliaan Manusia kerana Berakhlak

    Manusia menjadi makhluk yang termulia di sisi Allah adalah kerana Allah telah sempurnakan akhlak manusia itu. Ini merupakan kemuncak tertinggi dalam diri manusia. Baginda Rasullah mengakuinya dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”(Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).
    Akhlak mulia merupakan hasil dari ibadah dan cara hidup orang Islam. Setiap orang akan dinilai dari segi akhlaknya. Kalau baik akhlaknya, maka ia akan dianggap baik dan juga sebaliknya. Rasullah juga menegaskan bahawa akhlak mulia itu mempunyai kaitan dengan agama(cara hidup). Sabda baginda yang bermaksud: “Bermula agama itu ialah budi pekerti mulia”(Riwayat Muhammad bin Nasyur).

    Pernah seorang sahabat datang memberitahu Rasullah bahawa terdapat seorang wanita ahli ibadah, yang waktu malamnya bertahajud dan siang berpuasa sunat, tetapi mempunyai akhlak yang buruk dan suka menganggu serta menyakiti hati jiran dengan lidahnya. Maka Nabi S.A.W dengan tegasnya bersabda yang bermaksud : “Tidak ada kebaikan pada wanita itu dan dia termasuk ahli neraka”(Riwayat Ahmad dan Hakim).

    “Sekiranya aku berkawan dengan orang derhaka tetapi berakhlak mulia, lebih baik bagi aku daripada brekawan dengan seorang ahli ibadah yang berakhlak buruk”-Fudhail

    Kesempurnaan akhlak seseorang itu juga berkait rapat dengan kesempurnaan akalnya. Ini bermakna akal dan akhlak tidak terpisah. Itulah nilai martabat makhluk selaku manusia. Mulia atau hinanya bangsa itu bukan terletak pada kekuatan senjata dan kekayaan harta tetapi lebih banyak terletak pada akhlak mulia.

    Untuk mengembalikan kekuatan, kemuliaan dan keagungan umat Islam, tidak cukup dengan hanay membina kekuatan ekonomi, politik dan senjata tanpa akhlak mulia. Akhlak mulia ialah asas kekuatan umat Islam. Selagi umat Islam berakhlak mulia, selama itu akan disegani dan dihormati oleh semua bangsa. Kekuatan zahir hanya dijadikan sebagai kekuatan tambahan.

    Rahsia Kesepuluh – Manusia mampu mengendali dan meningkatkan maqam nafsunya

    Malaikat berjiwa suci, tapi tiada nafsu. Binatang pula diberi nafsu tanpa akal. Manusia pula diberikan akal dan nafsu serta perasaan. Nafsu sebenarnya dapat dipecahkan kepada beberapa jenis. Antaranya :
    1) Ammarah
    2) Lawwamah
    3) Mulhimah
    4) Mutmainnah
    5) Radhiah
    6) Mardhiah
    7) Kamilah

    Nafsu sentiasa mengajak kepada kejahatan. Nafsu ini adlah nafsu ammarah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberikan kemampuan dan kekuatan untuk manusia mengendalikan nafsu sehingga menjadi baik dan boleh didorong kepada kebaikan. Nafsu yang terdidik menjadi baik iaitu nafsu mutmainnah. Nafsu ini adalah nafsu ahli syurga.

    Nafsu ada yang baik dan ada yang jahat. Kedua-duanya wujud dalam diri manusia. Siapa yang dikuasai salah satu daripadanya, dia akan bersifat dengan pilihannya itu. DAN untuk menentukan antara nafsu itu yang menjadi sifat manusia, ia bergantung sejauh mana akal manusia itu berusaha mengendalikan dan mengawal serta berusaha untuk mencapai nafsu yang baik.

    Nafsu jahat boleh dikalahkan dan nafsu baik boleh ditingkatkan dengan beberapa latihan, melalui 4 cara iaitu kurangkan makan, kurangkan tidur, bercakap sekadar perlu dan sabar dengan ujian yang menimpa.