Tuesday, February 21, 2006

Farakh berlaku akibat ragu

FARAKH, atau perkahwinan yang dipisahkan, jarang berlaku dalam masyarakat. Mahkamah boleh membuat keputusan sekiranya ternyata pernikahan itu adalah fasik seperti tersilap wali ataupun ia dilaksanakan dengan tidak menepati hukum-hukum nikah. Rukun nikah terdiri daripada lima perkara iaitu lelaki, perempuan, wali, dua orang saksi dan ijab dan kabul.

Pembubaran perkahwinan secara farakh berpunca apabila wujudnya keraguan dalam pernikahan yang melibatkan wali atau saksi. Misalnya, Ali dan Aminah berkahwin dan selepas itu, muncul keraguan di pihak Ali atau Aminah.

Maka, mahkamah berhak menentukan perkahwinan tersebut sah ataupun tidak. Mereka juga boleh bernikah semula tanpa menunggu masa yang lama, kata Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor, Aluwi Parman.

Menurut beliau, kes yang menimpa Zanariah dan Muhammad Nazirul merupakan sebahagian daripada contoh kes farakh kerana berlakunya kekhilafan agama apabila pendaftar nikah bertegas menggunakan wali hakim sedangkan adiknya layak sebagai wali.

Bagaimanapun, katanya, banyak perkara perlu diteliti secara adil dalam menilai kejadian tersebut. Setidak-tidaknya, dengan keberanian mereka mendedahkan apa yang berlaku boleh menjadi iktibar kepada pasangan lain yang akan mendirikan rumah tangga. Hal-hal yang melibatkan rukun nikah bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Kepentingan wali dijelaskan dalam riwayat al-Khamsah dan An-Nasa’i daripada Abi Musa, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.” Syarat-syarat sah wali ialah beragama Islam, baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun), berakal, lelaki, adil dan merdeka.

Mengikut pendapat mazhab Syafie dan Hambali, wali fasik tidak sah menjadi wali nikah. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan saksi yang adil.” (Riwayat Ahmad)

“Setakat ini tidak ada kes seumpama itu berlaku di Selangor. Cuma yang dilaporkan ialah kahwin sindiket tanpa kehadiran wali yang sah. Juga ada orang yang mengaku boleh menjadi wali hakim sedangkan dia tidak layak,” ujar beliau mengenai contoh kes perkahwinan dibatalkan yang berpunca daripada masalah wali.

Kes farakh berbeza dengan penceraian secara talak rajie. Perempuan yang diceraikan suaminya perlu menunggu hingga habis idah iaitu tiga kali suci sebelum dibenarkan berkahwin dengan orang lain. Dalam perkahwinan yang dibubarkan secara farakh pula, pasangan boleh melalui proses pernikahan semula tanpa menunggu tiga kali suci. Bagaimanapun, jika pengantin perempuan memilih untuk mengahwini orang lain, mereka perlu menunggu hingga habis idahnya.

“Tempoh yang diambil untuk berkahwin semula terpulang kepada proses yang dilakukan oleh pihak pejabat agama daerah tersebut. Mungkin ia mengambil masa dua minggu atau lebih,” tambahnya.

Selain farakh, antara perkara yang boleh membawa kepada pembubaran sesebuah perkahwinan ialah lafaz talak, tuntutan fasakh, cerai taklik dan khuluk.

Penceraian biasa berlaku apabila suami melafazkan talak ke atas isterinya atas sebab-sebab tertentu seperti sudah tidak menemui kata sepakat dalam perkahwinan dan bertelagah hinggalah suami menceraikan isteri. Cerai taklik pula berlaku apabila isteri melanggar taklik yang dilafazkan sewaktu akad nikah. Apabila suami bertaklik, maka ia tidak disabitkan hinggalah isteri melanggar taklik yang telah dilafazkan.

Fasakh

Tuntutan fasakh ialah membatalkan perkahwinan tanpa ucapan talak. Fasakh diharuskan demi kebaikan kedua-dua pihak. Isteri boleh menuntut fasakh daripada suaminya di Mahkamah Syariah jika berlaku beberapa perkara, antaranya:

- Suami tidak bertanggungjawab menanggung nafkah zahir atau nafkah batin.

- Suami menghilangkan diri tanpa berita setelah sekian lama.

- Suami tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya (sekiranya suami beristeri lebih daripada satu).

- Suami menghidap penyakit berbahaya yang sukar untuk diubati.

- Suami tidak taat pada ajaran Islam dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.

- Suami telah melakukan kezaliman ke atas dirinya (diri isteri), seperti memukul dan sebagainya.

Khuluk ialah penceraian dengan cara tebus talak iaitu isteri dengan cara tebusan seperti ganti rugi atau mengembalikan mahar. Khuluk hukumnya adalah harus. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada waktu suci atau waktu idah. Kebiasaannya, khuluk adalah kehendak dan kemahuan isteri walaupun suami tidak mempunyai niat untuk menceraikannya. Dalam kes ini, suami tidak boleh rujuk dan tidak boleh menambah talak sewaktu idah kecuali dibolehkan berkahwin dengan akad baru bersama bekas isterinya.

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Tidak halal bagi kamu mengambil semula apa-apa yang telah diberikan kepada mereka sedikit pun (isteri yang diceraikan), kecuali kedua-dua suami isteri takut tidak dapat menjalankan hukum Allah. Jika kamu (wali-wali) khuatir mereka tidak dapat menjalankan hukum Allah, maka kedua-duanya tidak berdosa tentang apa-apa bayaran (tebus talak) yang dibayarnya.” (al-Baqarah: 229)

Khuluk diharuskan bagi mengelakkan isteri menderhaka kepada suaminya dan menyedarkan kedua-dua pihak akan kesilapan masing-masing. Selain itu, ia juga sebagai penghormatan kepada isteri iaitu isteri berhak bertindak mengikut peraturan yang betul untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Jenis-jenis wali

- Wali mujbir - Wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan tanpa meminta izin terlebih dahulu. Wali mujbir terdiri daripada bapa kandung dan datuk sebelah bapa ke atas.

- Wali aqrab - Wali yang terdiri daripada saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak saudara lelaki seibu sebapa dan anak saudara lelaki sebapa

- Wali ab’ad - Wali yang terdiri daripada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa sebapa, anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah, bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara bapa sebapa, anak lelaki bapa saudara seibu sebapa, anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah, bapa saudara datuk seibu sebapa, bapa saudara datuk sebapa, anak lelaki bapa saudara datuk seibu sebapa ke bawah dan anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah.

- Wali hakim - Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) wali hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agung dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab. Wali hakim digunakan sekiranya tidak ada wali nasab, anak tidak sah taraf atau anak angkat, wali yang ada tidak cukup syarat, wali aqrab menunaikan haji atau umrah dan wali enggan menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya.

Tuesday, February 14, 2006

Hukum al-Quran, sunnah bertujuan pelihara keadilan

HUKUM ialah suatu ketetapan berdasarkan kepada al-Quran dan sunnah berkaitan dengan gerak laku insan yang mukallaf dalam semua perkara.

Hukum itu dikembangkan oleh ulama menerusi ijtihad dari semasa ke semasa.

Sesuatu hukum yang jelas sabit menerusi nas al-Quran dan sunnah tidak harus dipinda atau diganti dengan hukum lain berdasarkan ijtihad manusia atau pandangan mana-mana badan.

Justeru, ia adalah hukum yang tetap tanpa diberi ruang campur tangan manusia atas apa dakwaan sekalipun untuk meminda, menukar atau menggantikannya bagi tujuan memenuhi cita rasa mereka. Rasulullah SAW sendiri tidak dibenarkan Allah menukargantinya mengikut kemahuannya (Surah Yunus, ayat 15).

Bagi Muslimin dan Muslimat, Allah menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan sama sekali apabila Allah dan rasul-Nya menetapkan sesuatu keputusan (hukum) mengenai sesuatu perkara (Surah al-Ahzab, ayat 36) dan mereka hendaklah menerima keputusan itu dengan sepenuhnya (Surah al-Nisa, ayat 65).

Al-Quran dan hukumnya tetap dipelihara Allah daripada sebarang pindaan dan rombakan sehingga hari kiamat (Surah al-Hijr, ayat 9).

Kedudukan itu berbeza dengan hukum furu' yang berasaskan ijtihad ulama. Ia saja boleh dipinda, itu pun jika 'illah (sebab) yang mengikat hukum itu sudah berubah. Di sini saja terletaknya apa yang diistilahkan sebagai keserasian (murunah) hukum Islam yang dapat disesuaikan atau dipinda selaras peredaran masa dan perubahan tempat.

Tetapi keharusan itu tetap berdasarkan maslahah dan bebas daripada sebarang kepentingan individu atau kumpulan serta terikat dengan kawalan terhadap lima perkara utama syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan/kehormatan diri dan harta benda. (Dr Yusuf Hamid al-'Alim, muka 203-548).

Justeru, kita tidak dibenarkan sama sekali meminda hukum yang diperuntukkan di dalam kitab suci al-Quran dan sunnah menerusi nasnya yang qat`i seperti hukum kewajipan menunaikan solat, puasa, haji, zakat, menjauhi riba, zina, tuduhan zina, minum arak, mencuri, merompak, menukar agama (murtad), melakukan pembunuhan, kecederaan, pengguguran, hukum-hukum kekeluargaan dan muamalat.

Dalam hubungan ini, kita hanya dituntut melaksanakan hukum berkenaan seperti dinaskan.

Tidak ada sesuatu hukum yang diperuntukkan al-Quran, sunnah dan ijtihad ulama yang menyentuh hubungan sesama manusia kecuali kerana ia bertujuan memelihara perkara itu dan menegakkan keadilan.

Hukum kekeluargaan, misalnya, bertujuan menyusun sebuah masyarakat cemerlang. Hukum berkaitan harta benda untuk memelihara hak pemilikannya supaya tidak dirampas atau dipindah milik secara tidak sah.

Hukum jenayah bertujuan memelihara agama, nyawa dan diri manusia, akal fikiran, keturunan, maruah diri, harta benda dan akidah supaya tidak diancam atau dicerobohi mana-mana pihak.

Apa yang dikatakan oleh sebahagian orang sebagai tidak adil dan menindas pihak tertentu adalah dakwaan yang hanya berdasarkan kepada tanggapan dan budaya asing yang memberi hak dan kebebasan tanpa batasan.

Hukum Islam hendaklah dilihat dari sudut ia adalah hukum Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Adil dalam apa juga ketetapan-Nya.

Sunday, February 12, 2006

Wednesday, February 08, 2006

Yang kita inginkan atau yang kita perlukan?

Fitrah manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin dicintai dan menyintai, ingin dikasihi dan mengasihi, ingin dirindui dan merindui. Dari yang si kecil sehinggalah dewasa. Semua menginginkannya. Hatta Nabi Adam a.s sendiri menginginkannya. Walau pun diberi kebijaksanaan mengenal seluruh isi bumi, dianugerahkan segala-galanya namun Nabi Adam a.s tetap terasa sepi dan sunyi.

Maka lahirlah Hawa untuknya. Begitulah juga kita, menginginkan untuk memiliki seseorang yang disayangi dan pada masa yang sama turut dicintai.

Inginkan seseorang yang memiliki ciri-ciri yang sempurna juga fitrah manusia. Menginginkan yang cantik, lawa, menarik dan mempesonakan pandangan mata. Pendek kata yang memiliki keindahan, kekayaan, kebijaksanaan, kejayaan. Semuanya menjadi pilihan. Dengan pelbagai usaha digunakan untuk mendapatkannya, hinggalah ada yang sanggup bertumpahan darah seperti Qabil dan Habil, bergadai nyawa seperti Laila dan Majnun, sehidup semati ibarat Romeo dan Juliet.

Kerana ingin memiliki kasih sayang dan kononnya demi cinta suci. Akhirnya terkubur jasad ke tanah tanpa pengakhiran yang membahagiakan. Beginikah dikatakan ingin memiliki dan dimiliki. Apa yang pasti janji cuma tinggal janji..

Agama tidak melarang seseorang menginginkan teman dalam hidupnya. Namun apakah yang kita inginkan adalah yang kita perlukan? Adakah pasti yang diingini akan kita miliki? Seseorang yang kita inginkan belum tentu yang kita perlukan, dan seseorang yang kita perlukan juga belum tentu yang kita inginkan. Jadi, mana yang akan dipilih, yang diinginkan ataukah yang diperlukan? Ikut hati tentulah yang diingini tapi tanya akal pula pastilah yang diperlukan. Alamak, akal dan hati sentiasa berperang dan bermusuhan.

Lantaran itulah Allah s.w.t turunkan Al-Quran sebagai panduan dan sunnah Rasullullah s.a.w sebagai ikutan. Kandungannya banyak memberi petunjuk jalan agar usaha dan keputusan yang kita lalui sentiasa lurus, diredhai dan penuh keberkatan.

Malangnya, ramai antara kita belajar dari artis-artis Hollywood, Bollywood dan entah apa entah wood lagi. Novel-novel, majalah-majalah cinta pula sebagai rujukan utama. Maka, lahirlah ‘sektor perkapalan’ haram yang mengemudi bahtera bersama kelasinya. Ke hulu ke hilir membelah lautan biru menuju ke destinasi bahagia, kononnya. Tapi, yakinkah kita itulah kebahagiaan, itukah yang kita inginkan dan adakah itu yang kita perlukan? Tatkala, ada di antara kita yang tidak menginginkan seseorang itu sebagai teman hidupnya namun ditakdirkan menjadi miliknya. Umpama Nabi Yusuf a.s menolak cinta Siti Zulaikha akhirnya menjadi isteri yang paling disayangi dan dikasihi. Bukan didesak oleh keinginan hati tapi kerana memerlukan insan seperti Siti Zulaikha, menjadi isteri kerana Allah.

Kini, kenyataan telah terukir. Sesuatu yang kita perlukan itulah yang kita inginkan. Maka agama itulah yang kita perlukan bukan selain darinya. Sebagaimana yang tercoret dalam hadis Rasulullah s.a.w pilihlah seseorang itu kerana kecantikannya, hartanya, keturunan dan agamanya. Maka, pilihlah agamanya insya Allah kita akan temui kebahagiaan yang sebenar, wallahua’lam..

Tuesday, February 07, 2006

Penyebab Keresahan Hidup

Manusia ini dijadikan oleh Allah swt sebagai HAMBANYA dan KHALIFAH di atas muka bumi ini. Pastinya dalam menjalankan tanggungjawab tersebut kita berhadapan dengan pelbagai rintangan, dugaan, mehnah dan tribulasi yang merupakan ujian Allah kepada kita. Kita harus memahami bahawa DUNIA adalah ladang semaian, hasil ladang itu membawa kepada suatu ganjaran di Akhirat kelak.

Justeru sejajar dengan tabii manusia itu dalam menjalani liku-liku kehidupan pastinya kita berhadapan dengan "stres", tekanan yang akhirnya membawa kepada keresahan hidup. Penyebab keresahan dalam hidup manusia menurut pandangan Islam sangat banyak tetapi yang menjadi punca utama ialah :
 Tidak adanya iman atau lemahnya iman seseorang.

 Percampuran antara iman dan syirik.

 Kurangnya kesedaran bahawa dalam usaha manusia ada ketentuan Allah yang Maha Berkuasa. Manusia hanya sebagai makhluk yang diciptakan dan berada dalam kekuasaanNya.

Firman Allah Ertinya : "Dan kepunyaan-Nyalah apa-apa yang di langit dan di bumi, semua makhluk tunduk kepadaNya" (Surah al-Rum : 26)

 Umat Islam kurang menghayati dan mengamalkan kehidupan berumah tangga berlandaskan ajaran Islam. Ibu bapa atau penjaga kurang memberi perhatian ilmu pengetahuan dan pendidikan keagamaan kepada anak di samping ilmu pengetahuan yang lain.

 Kebebasan dalam pergaulan tanpa didasari dengan keimanan sehingga boleh mempengaruhi manusia melakukan perkara yang haram mengikut hukum syarak.

 Manusia terlalu membanggakan ilmu pengetahuan hasil daripada pemikiran akal manusia tanpa disertai iman sedangkan pemikiran manusia amat terbatas.

 Pengaruh makanan dan minuman haram ke atas umat Islam secara sedar atau tidak sedar.

 Adanya penyakit rohani yang membahayakan dan merosakkan peribadi dan martabat manusia seperti hasad, dengki, khianat, dusta, takbur, riak dan sebagainya.

 Kurangnya kesedaran rasa syukur sewaktu mendapat nikmat Allah S.W.T. dan terlalu mementingkan urusan duniawi.

 Sentiasa diselubungi perasaan bersalah atau berdosa kerana telah melakukan perbuatan terkutuk yang bertentangan dengan hati nuraninya sehinga terjadi konflik batin. Konflik batin ini menyebabkan gangguan fikiran seperti tidak tenteram dan tertekan.

Semoga dengan apa yang akan disampaikan dapat menjadi peringatan, nasihat dan bimbingan terutama pada diri kita dan seluruh kaum muslimin dan muslimat dalam rangka meyempurnakan displin kehidupan agar sentiasa memperoleh taufik, hidayah dan rahmat daripada Allah S.W.T.

thanks Faris_Ahlamiyy

Hikmah bersujud mengikut perspektif perubatan

1. Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
3. Melegakan sakit hernia.
4. mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

5. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan.
6. Mengurangkan kesakitan pada apendiks atau limpa.
7. Meringankan bahagian pelvis.
8. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut dan punggung ketika akan sujud.
9. Gerakan otot-otot ini menjadikannya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelancaran darah.
10. Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal.
11. Menggurangkan kegemukan.
12. Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
13. Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.

thanks adralinaz
14. Memberi dorongan untuk mudah tidur.

Cantik dari sudut pandangan Islam

PERSOALAN utama yang perlu dilontarkan kepada wanita moden hari ini: untuk apa menjadi cantik? Apakah kelebihan jika dilahirkan cantik atau membentuk diri menjadi cantik? Adakah kecantikan elemen utama dalam mengejar kepuasan hidup?

Jutaan wanita sanggup melakukan pelbagai cara untuk kelihatan cantik termasuklah melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa. Sedangkan Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail berkata, menjaga kecantikan memang digalakkan oleh Islam tetapi pelaksanaannya mestilah berlandaskan hukum syarak.

“Islam adalah agama kebaikan untuk semua orang dan setiap tindakan yang diambil perlu mempunyai objektif ke arah kebaikan, bukannya yang mendatangkan kemudaratan. Ini termasuklah aspek penjagaan kesihatan seperti makanan, minuman dan aktiviti-aktiviti riadah. Kalau ia adalah perbuatan yang menyebabkan keburukan, maka ia tidak wajar dilakukan,” kata Paizah.

Penggunaan botox pula perlu dilihat daripada banyak aspek sama ada ia dilakukan untuk tujuan perubatan atau kosmetik semata-mata. Bagaimanapun, ujar beliau, suntikan botox memerlukan bayaran yang agak mahal dan ia hanya dilakukan oleh golongan yang berkemampuan.

Melampaui

Ada yang melakukan botox dengan alasan atas permintaan suami. Dalam konteks ini, Paizah menasihati para suami agar tidak meminta sesuatu yang melampaui batas hingga menjejaskan kesihatan isteri dan mengancam nyawa seperti melakukan pembedahan plastik untuk jadi lebih cantik.

Suatu waktu dulu, sebelum ‘fenomena’ botox muncul, ada wanita sanggup memakai susuk walaupun mereka menyedari perbuatan tersebut adalah syirik dan jelas bertentangan dengan hukum syarak. Malah orang yang mengamalkan susuk juga apabila mati mayatnya tidak diterima bumi.

Menurut Paizah, kepercayaan-kepercayaan demikian menunjukkan betapa berat hukuman yang dikenakan ke atas individu yang melanggar perintah Allah s.w.t. seperti mana kepercayaan anak yang menderhaka kepada orang tuanya akan disumpah menjadi batu.

“Sama ada mayat diterima bumi atau tidak itu terpulang kepada hukuman yang dilakukan atas kehendak Allah s.w.t.. Kita sebagai manusia harus mengambil iktibar ke atas apa yang berlaku dan memahami bahawa setiap tindakan yang mensyirikkan Allah s.w.t. adalah dosa besar,” tegas beliau.

Kaedah perubatan yang mengubah wajah pula, jelas Paizah bergantung kepada keperluannya dalam hidup. Islam membenarkan membetulkan keadaan mulut yang sumbing atau pembedahan kosmetik terutama ke atas mangsa kebakaran yang melecur dan merosakkan sebahagian tubuh badannya.

Sekiranya pembedahan dilakukan hanya sekadar ‘suka-suka’ seperti memancungkan hidung atau membesarkan mata yang sepet hingga mengelirukan orang ramai, maka ia adalah haram. Tindakan demikian bukan sahaja mendatangkan masalah pada kemudian hari tetapi mengubah kejadian asal tanpa sebab munasabah.

Mengulas mengenai isu pemakaian gigi emas di kalangan lelaki, katanya, lelaki diharamkan memakai emas tidak kira di jari, leher ataupun gigi. Persoalan perlu dicabut atau tidak terpulang pada persepsi individu terbabit kerana ada juga yang memakai gigi palsu dan mencabutnya apabila meninggal dunia.

Dalam soal penjagaan kecantikan dan kesihatan, Paizah menasihatkan golongan wanita agar bijak menggunakan setiap anugerah Allah s.w.t. dan jangan melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan masa depan atau mengancam nyawa. Islam sememangnya menuntut umatnya agar sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

Berhias jangan sampai mengubah ciptaan Allah

CANTIK adalah sesuatu yang subjektif. Malah ia memberi apresiasi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Ada orang mengatakan kurus itu cantik. Ada juga yang berpendapat lebih baik berisi sedikit. Bahkan, ramai wanita yang mahu tampil anggun dengan mempunyai kulit putih gebu dan berseri-seri.

Walau apa jua tanggapan wanita tentang kecantikan, kita sering terlupa bahawa setiap kejadian adalah hak milik Allah s.w.t.. Garis-garis usia akan tetap kelihatan bila sampai waktu dan ketikanya. Namun, sebagai wanita apakah yang boleh kita lakukan untuk memelihara kecantikan tanpa melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan dan mengancam nyawa?

Pengasas produk kecantikan Le’ Rose, Roslawaty Ramly berpendapat, kecantikan itu akan datang dengan sendirinya apabila seseorang itu mempunyai hati yang bersih, tiada hasad dengki dan juga sentiasa ikhlas melakukan sebarang pekerjaan.

“Apabila hati bersih ia akan terpancar pada wajah seseorang dan penggunaan kosmetik hanyalah untuk menambah kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah,” katanya.

Mengenai penjagaan kecantikan, Roslawaty berkata, dari segi amalan beliau menggunakan produk Le’ Rose untuk penjagaan kulit serta mengamalkan senaman secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Selain itu, beliau juga mengamalkan makanan seimbang dan minum banyak air mineral iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Roslawaty mengaku pernah diajukan soalan tentang penggunaan botox untuk menambah kecantikan tetapi beliau secara jujur memberitahu pelanggan bahawa salonnya tidak menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Pada saya penggunaan botox atau kaedah lain termasuk susuk adalah terpulang kepada individu tetapi bagi saya apa yang dikurniakan oleh Allah itu adalah mencukupi. Kita perlu menjaganya dan jangan mengubah ciptaan Tuhan,” jelasnya.

Menurutnya, ada sesetengah individu yang terikut-ikut dengan trend di Barat dalam penggunaan botox sedangkan kecantikan sedia ada pada mereka telah cukup dan tidak ada cacat celanya.

“Saya percaya kebanyakan orang yang menggunakan botox sekadar mencuba kerana perkhidmatan itu mudah diperoleh termasuk daripada doktor-doktor yang bertauliah,” tambah Roslawaty.

Menurut Dekan Program Yayasan Kajian dan Klinikal, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed, kecantikan pada masa sekarang sudah menjadi satu trend dan semua wanita berebut-rebut untuk tampil anggun dan menawan dengan menggunakan pelbagai kaedah rawatan kecantikan.

Dalam aspek perubatan, rawatan di atas permukaan kulit boleh dilakukan dengan meletakkan krim atau kaedah terapi untuk menaikkan seri wajah. Bahagian bawah kulit pula adalah lapisan otot yang menggunakan suntikan botox ke bahagian tersebut supaya otot-otot kelihatan tegang.

Jika otot-otot tegang, secara tidak langsung ia akan menghilangkan kesan-kesan kedutan pada kulit wajah dan seterusnya wajah akan nampak lebih muda daripada usia sebenar.

Bagaimanapun, kesan suntikan botox yang kurang jelas menyebabkan ada sesetengah wanita mengambil keputusan menjalani pembedahan kosmetik sama ada melibatkan pembuangan lemak di bawah kulit supaya nampak tegang dan lebih kurus.

“Sebagai contohnya, ada yang tidak berpuas hati dengan bentuk hidungnya yang bengkok dan menjalani pembedahan untuk memancungkan hidung atau membetulkan mata yang sepet supaya kelihatan lebih bulat,” kata Abdul Latiff yang merupakan Presiden Perubatan Islam Malaysia.

Kaedah terbaru kecantikan yang digemari wanita pada masa kini ialah dental surgery dengan tujuan membetulkan kedudukan gigi yang jongang atau tidak teratur supaya lebih cantik. Prosedur ini juga termasuk dalam kaedah pembedahan kosmetik.

Selain itu, ada juga wanita yang memakan pil-pil kecantikan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada tubuh badan. Ada antara pil itu menyebabkan reaksi pada kulit. Ada juga ubat sapu atau krim muka yang boleh mendatangkan alahan kepada pengguna kerana mengandungi bahan organik yang berbahaya. Kandungan organik tersebut boleh menyebabkan alahan kerana ia menghancurkan antibodi dalam badan dan seterusnya merosakkan permukaan kulit.

“Ada wanita yang sanggup melakukan penanaman silikon walaupun ini boleh mengundang kesan tindak balas yang luar biasa seperti kulit mengelupas, bernanah dan jangkitan kuman yang akhirnya boleh merosakkan kecantikan sebenar yang telah dianugerahkan Allah s.w.t.,” kata Abdul Latiff mengulas mengenai kaedah-kaedah rawatan kecantikan yang mendatangkan risiko kepada pengguna.

Thursday, February 02, 2006

Bagaimana Setan(syaitan) masuk dalam hati kita??

- Terlalu cintakan kepada dunia sedangkan kehidupan di akhirat tiada langsung di dalam hatinya, baginya kehidupan hanya sekali sahaja iaitu di dunia.
- Terlalu melayan perasaan dan panjang angan-angan kerana sifat ini akan mengeraskan hati.

- Terlalu rakus kepada kehidupan dunia kerana ia akan membuahkan sifat tamak.
- Bakhil dengan apa yang dimiliki dan yang diperolehinya kerana ia merupakan pintu kepada kesombongan.
- Riya’, besar diri dan angkuh kerana ia merupakan punca kepada sifat kemunafikan.
- Ujub dan sombong.
- Sentiasa menyimpan perasaan buruk sangka terhadap orang lain dan berdendam.
- Memandang remeh akan dosa-dosa kecil kerana ia akan mendorongkan lagi manusia berterusan dalam melakukan dosa kecil dikira sebagai melakukan dosa besar.
- Merasa suka dan gembira bila mendapat sesuatu musibah atau azab dari Allah.
- Memandang rendah kepada orang lain kerana sifat ini merupakan tapak bercambahnya sifat dengki dan membuka pintu kebencian.
- Bodoh diatas setiap tindakan dan perbuatan tetapi tidak pula menyedari akan kebodohannya itu sebaliknya merasakan dirinya sentiasa betul.
- Suka kepada pujian dan sanjungan kerana ia merupakan punca timbulnya sifat besar diri dan sombong.
- Ketika sedang marah kerana marah itu merupakan bara api dari neraka.
- Putus asa dengan rahmat Allah, sifat ini akan membuatkan seseorang merasakan dunia yang begitu luas ini terlalu sempit baginya, oleh kerana terlalu kecewa ia sanggup melakukan apa saja.

Jangan Kau Tangisi Apa Yang Bukan Milikmu!

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai, kenyataan yang tidak sesuai harapan. Akhirnya angan ini lelah berandai-andai ria. Sungguh semua itu telah hadirkan nelangsa yang begitu menggelora dalam jiwa.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat terguncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu, majlis-majlis dzikir yang akan mengantarkan pada ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar berbagai keinginan. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak, mempunyai keinginan. Tetapi tidak setiap yang kita inginkan bisa terbukti, tidak setiap yang kita mahu bisa tercapai. Dan tidak mudah menyadari bahwa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sadar bahwa hidup ini tidak punya satu hukum: harus sukses, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang sukses tetapi lupa bahwa sejatinya itu semua pemberian Allah hingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenang. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan benar. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakekat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi jatah kita di dunia, entah itu rizki, jabatan atau kedudukan, pasti akan Allah sampaikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan kita bisa miliki. Meski ia nyaris menghampiri kita, meski kita mati-matian mengusahakannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (al-Hadiid: 22-23)

Demikian juga bagi yang sedang galau terhadap jodoh. Kadang kita tak sadar mendikte Allah tentang jodoh kita, bukannya meminta yang terbaik dalam istikharah kita tetapi benar-benar mendikte Allah: "Pokoknya harus dia Ya Allah! Harus dia, karena aku sangat mencintainya." Seakan kita jadi yang menentukan segalanya, kita meminta dengan paksa. Dan akhirnya kalau pun Allah memberikannya maka tak selalu itu yang terbaik. Bisa jadi Allah tak mengulurkannya tidak dengan kelembutan, tapi melemparkannya dengan marah karena niat kita yang terkotori.

Maka wahai jiwa yang sedang gundah, dengarkan ini dari Allah:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah Maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah: 216)

Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam nestapa jiwa berkepanjangan terhadap apa-apa yang luput darimu. Setelah ini harus benar-benar dipikirkan bahwa apa-apa yang kita rasa perlu di dunia ini harus benar-benar perlu, bila ada relevansinya dengan harapan kita akan bahagia di akhirat. Karena seorang Mu'min tidak hidup untuk dunia, tetapi menjadikan dunia untuk mencari hidup yang sesungguhnya: hidup di akhirat kelak.

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!

Allahu a'lam..

Tanggungjawab Seorang Suami Adil

Salah satu tanggungjawab utama seorang suami terhadap isterinya (isteri-isteri) ialah mengawal isterinya serta berlaku adil kepadanya kerana isteri itu adalah amanah Allah yang diserahkan kepada si suami.

Sabda Rasulullah SAW:

(Fear) God, (fear) God in the matter of women. They are weak partners, a trust from God with you; and they are made by the divine word permissible for you.

Ini menunjukkan bahawa suami hendaklah menjaga amanah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Ini merupakan tunggak utama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Jika si suami dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW ini, sudah tentu masalah rumahtangga yang banyak berlaku pada zaman ini dapat dielakkan. Suami hendaklah menjaga si isteri dan bukannya memperhambakannya walaupun disebutkan di atas sebagai mengawal isteri. Di sini, mengawal isteri bukanlah bermaksud mengawalnya sebagai hamba tetapi mengawal isteri itu daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam.

Jika sesorang lelaki itu mengahwini lebih daripada seorang isteri, bermakna suami itu perlulah bersikap adil terhadap semua isterinya. Suami hendaklah memenuhi keperluan isteri-isterinya tanpa melebih-lebihkan salah seorang daripada mereka. Suami perlulah mengaturkan jadual bermalam yang adil supaya tidak berlaku perbalahan sesama isteri dan juga dengan si suami yang akan menghalang pembentukan keluarga bahagia.

PEMIMPIN

Suami juga bertindak sebagai ketua rumah dalam sesebuah keluarga. Suami bertindak sebagai pemerintah yang bertanggungjawab terhadap pemerintahannya iaitu keluarganya. Suamilah yang akan membuat keputusan yang membabitkan keluarganya.

Suami juga hendaklah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan orang-orang dibawahan jagaannya, iaitu isteri serta anak-anaknya. Tanggungjawab yang dipikul ini adalah besar, oleh itu si suami hendaklah bersedia untuk memimpin sebuah kerajaan yang dibinanya.

Firman Allah

Lelaki itu pemimpin bagi perempuan dengan apa-apa yang Allah telah lebihkan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain, dan lantaran lelaki itu telah memberikan nafkah dengan harta mereka. Perempuan-perempuan yang baik ialah perempuan yang setia dan menjaga diri di belakang suami akan apa-apa yang disuruh Allah menjaganya.

(An-Nisak:34)

NAFKAH

Si suami juga hendaklah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya. Menyediakan keperluan asas kepada si isteri iaitu: makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan dan tempat tinggal.

Firman Allah

"Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik."

(Al-Baqarah:233)

Suami juga hendaklah memberikan wang yang secukupnya kepada si isteri supaya ia boleh membeli keperluan rumahtangga. Untuk pakaian pula, si isteri berhak untuk pakaian yang sesuai mengikut keadaan dan kemampuan si suami. Si isteri juga berhak untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa, selamat dan sekurang-kurangnya mempunyai keperluan yang minimum. Nafkah anak-anak juga adalah tanggungjawab suami. Menurut Rasulullah, memberi nafkah kepada anak dan isteri sama hukumnya dengan orang yang berjihad ke jalan Allah. Suami haruslah ikhlas, walaupun kepenatan kerana apa yang dilakukan adalah ibadah.

Untuk keperluan batin pula, si suami hendaklah memenuhi keperluan isteri tanpa mementingkan diri sendiri.

PENDIDIKAN

Pendidikan agama sangat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita perlulah sentiasa memperbaiki diri kita yang serba kekurangan ini. Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggungjawab memberikan nasihat dan pengetahuan serta pengajaran hukum Islam dalam hal-hal fardu ain kepada isteri dan anak-anak. Oleh sebab itu, suami perlulah melengkapkan dirinya dengan pendidikan agama supaya ia dapat mengajar isterinya.

Dengan memberi panduan kepada isteri tentang pendidikan agama ini, tentulah ia akan mengelakkan keruntuhan sesebuah institusi keluarga yang disebabkan oleh kejahilan tentang hukum-hukum agama. Suami hendaklah memastikan bahawa isteri mempunyai pendidikan agama yang mencukupi dan menggalakkannya menjalankan ibadat-ibadat sunat dan sebagainya.

PELINDUNG

Si suami juga bertanggungjawab memberi perlindungan, penjagaan dan kegembiraan kepada si isteri. Isteri adalah amanah Allah, maka sudah tentu si suami hendaklah menjaganya serta menggembirakan hatinya. Hendaklah si suami memastikan bahawa si isteri sentiasa berasa senang tanpa rasa susah hati dan sengsara:

Tempatkanlah mereka (perempuan-perempuan yang idah) di tempat kediaman yang sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah menyengsarakan mereka untuk menimpakan kesusahan kepada mereka.

(at-Talaq :6)

Menurut ayat di atas juga, suami bertanggungjawab menyediakan kediaman (yakni perlindungan) kepada si isteri. Suami hendaklah memastikan bahawa keselamatan si isteri adalah terjamin. Perempuan adalah kaum yang lemah, oleh sebab itu, sebagai kaum yang berdaya, suami hendaklah menjaga si isteri daripada sebarang bahaya. Untuk mencapai kebahagiaan dalam rumahtangga, rasa cinta dan kasih sayang perlulah wujud antara suami isteri. Suami hendaklah memberikan kasih sayang kepada si isteri dengan menjaga hatinya dan melayannya dengan baik.

Suami hendaklah memastikan bahawa hati si isteri tidak terluka dengan sikap si suami. Jika si isteri melakukan sesuatu perkara yang kurang disenangi oleh suami, maka si suami hendaklah bersabar dan beralah dengannya asalkan ia tidak merosakkan peribadi si isteri dan si isteri tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

Whoever of you whose wife behaves in a disagreeable manner and he responds by kindness and patience, God will give him rewards as much as job will be given for his forbearance.

Untuk memastikan bahwa si suami dapat bersabar dengan karenah si isteri, si suami hendaklah mempunyai sikap memahami dan memaafkan. Ini adalah perlu supaya tidak terjadi perbalahan sesama sendiri walaupun punca masalah yang timbul adalah kecil sahaja. Si suami hendaklah bersabar dengan keletah si isteri, bertimbang rasa, dan memahami penderitaan yang ditanggung oleh si isteri ketika hamil, melahirkan anak dan mengasuhnya. Pada ketika inilah si isteri kadang-kadang bertindak mengikut perasaan. Oleh sebab itulah pada ketika ini, si suami hendaklah melayan si isteri dengan baik dan lemah lembut. Janganlah kerana perkara yang kecil sahaja maka si suami menengking si isteri itu. Akibatnya, rumahtangga akan menjadi goyah.

Jika terdapat kecacatan secara fizikal atau sebagainya, si suami hendaklah merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai. Apa-apa tanda yang terdapat pada tubuh si isteri, adalah menjadi amanah kepada si suami merahsiakan segalanya kerana ia boleh mengaibkan si isteri jika dihebohkan. Kita perlulah mengasihi semua anggota keluarga kita. Setelah berkahwin, semua ahli keluarga pihak si isteri akan menjadi keluarga pihak si suami. Oleh sebab itu, si suami hendaklah menyayangi keluarga pihak si isteri seperti keluarganya sendiri.

MELAYAN & MENGGAULI ISTERI DENGAN BAIK

Gurauan adalah perlu dalam perhubungan suami isteri kerana ia boleh merapatkan lagi perhubungan mereka. Ia juga merupakan salah satu cara untuk merehatkan badan dan pemikiran. Suami hendaklah menggembirakan hati si isteri apabila berehat dengannya dengan berjenaka secara sederhana. Apabila menggauli si isteri, suami hendaklah melakukannya dengan lemah lembut, sopan santun dan tidak zalim.

Suami hendaklah mendekati si isteri dengan cara yang baik dan bersopan, tidak bersikap ganas seperti seekor binatang. Isteri hendaklah dilayan sebagai seorang yang setaraf yang boleh berkongsi kebahagiaan dengannya. Sepatutnya isteri itu dilayan dengan penuh kasih sayang dan kelembutan terutamanya pada malam pertama perkahwinan mereka. Dengan ini, sudah tentu akan mengukuhkan lagi rasa kasih sayang antara mereka.

Suami akan mendapat ganjaran di akhirat jika menggauli si isteri dengan baik:

Dan bergaullah dengan mereka (perempuan-perempuan) dengan baik, dan sekiranya kamu membenci mereka mungkin apa yang kurang kamu sukai itu Allah menjadikannya kebaikan yang banyak.

(An-Nisak :19)

Seorang suami juga tidak boleh mempunyai prasangka yang buruk dan bukan-bukan terhadap isterinya walaupun perasaan cemburu itu adalah perkara biasa. Perasaan cemburu yang timbul itu mestilah munasabah dan tidak keterlaluan sehingga boleh menyebabkan perbalahan antara suami isteri. Si suami sepatutnya tidak membiarkan perasaan cemburu itu mengatasi akal pemikiran yang rasional dalam menyelesaikan masalah.

Sabda Rasulullah SAW:

There is a type of jealousy which Allah loves and there is another type which Allah hates. As for what which Allah loves, it is the jealousy which is provoked by a legitimate cause of suspicion; and that which Allah hates is the jealousy which is unduly aroused.

(Ibnu Majah)