Wednesday, March 21, 2007

Kadar mas kahwin ikut perubahan masyarakat



PERBELANJAAN untuk berkahwin masa kini semakin mahal dan yang teruk menanggung beban adalah bakal pengantin lelaki. Yang menyedihkan, punca belanja perkahwinan melambung tinggi gara-gara wang hantaran.


Masyarakat Melayu seolah-olah sudah sebati dengan adat pemberian wang hantaran, malah saling berlumba untuk mendapatkan wang hantaran paling tinggi termasuk pemberian lain seperti barang kemas, pakaian, wangian dan seribu satu macam hadiah yang digubah indah. Pendek kata, golongan lelaki terpaksa bekerja keras mengumpul wang sebanyak mungkin untuk tujuan perkahwinan hingga ada terpaksa berhutang semata-mata mahu menyediakan wang perkahwinan.

Amat mendukacitakan, masih ada di kalangan kita yang keliru antara mas kahwin dan hantaran, antara adat dan hukum Syarak. Realitinya wujud perbezaan besar antara keduanya.

Mas kahwin atau mahar adalah pemberian wajib oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan seperti firman Allah bermaksud: “Berikanlah kepada orang perempuan itu mas kahwin mereka.” (Surah Al- Nisaa’, ayat 4)

Islam tidak mengehadkan kadar mas kahwin sebaliknya terpulang kepada persetujuan kedua-dua belah pihak untuk menentukan berdasarkan kemampuan dan adat masyarakat. Apa yang penting, kemampuan pihak lelaki dan keredaan kedua-dua pihak.

Mengikut amalan di Malaysia, kadar mas kahwin berbeza mengikut negeri. Contohnya di Selangor dan Negeri Sembilan mas kahwin adalah RM80 bagi gadis dan RM40 bagi janda. Di Johor, mas kahwin ditetapkan RM22.50, Pulau Pinang (RM24) dan begitu juga di negeri lain mengikut kadar ditetapkan negeri masing-masing. Berbeza dengan mas kahwin, hantaran pula adalah amalan adat resam masyarakat Melayu. Istilah wang hantaran merujuk kepada wang yang dihantar pengantin lelaki kepada bakal mentua atau bakal pengantin perempuan.

Hantaran menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan beberapa enakmen negeri lain diistilahkan sebagai pemberian yang diperuntukkan dalam seksyen 21 sebagai pemberian dalam bentuk wang atau benda yang diberikan oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan.

Menurut Prof Madya Raihanah Azahari, amalan pemberian wang hantaran banyak dipengaruhi adat resam masyarakat setempat. Di Terengganu dan Kelantan misalnya, ia dianggap mas kahwin dan wang itu dimiliki sepenuhnya oleh isteri.

Di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Melaka, ia digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan, manakala di Kedah dan Pulau Pinang, ia diberi kepada ibu bapa pengantin perempuan dan terpulang kepada mereka sama ada digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan atau diberikan kepada anak.

Oleh itu, dapat disimpulkan kedudukan wang hantaran dalam adat Melayu berbeza mengikut adat negeri masing-masing, sama ada menjadi milik isteri, ibu bapa atau digunakan untuk tujuan majlis perkahwinan.

Apakah hukum berpegang dan beramal dengan adat? Menurut Mohd Saleh Ahmad dalam Pengantar Syariat Islam, adat atau uruf yang boleh diamalkan ialah uruf sahih yang tidak menyalahi hukum syarak dan tatacaranya tidak menghalalkan yang haram dan tidak membatalkan yang wajib. Adat itu perlu menepati beberapa syarat, antaranya diamalkan secara meluas atau menyeluruh oleh majoriti masyarakat.

Berbalik kepada kedudukan adat memberi hantaran dalam masyarakat Melayu, hujah dan kenyataan di atas menunjukkan adat itu diharuskan, tetapi kadarnya jangan sampai menyusahkan pihak tertentu.

Penulis berpendapat, pepatah Melayu biar mati anak jangan mati adat dan adat yang tak lapuk dek hujan, yang tak lekang dek panas tidak relevan sekiranya mengetepikan hukum syarak. Selain itu, kedudukan mas kahwin dan hantaran juga berbeza dari segi pemilikan dan falsafahnya dengan mas kahwin adalah milik isteri sepenuhnya, malah jika berlaku perceraian atau kematian, mas kahwin yang belum berbayar dianggap hutang.

Berbeza dengan wang hantaran, hak pemilikannya tidak jelas dan berbeza mengikut adat masyarakat negeri, ada yang menjadi milik isteri, hak ibu bapa dan digunakan untuk tujuan perbelanjaan perkahwinan.

Begitu juga dari segi falsafahnya, mengikut perspektif undang-undang, mas kahwin tidak dianggap sebagai ‘pertimbangan’ seperti dalam kontrak lain.

Ia mempunyai keunikan dan simboliknya tersendiri. Mas kahwin simbol membuktikan kesediaan bakal suami untuk menanggung nafkah isteri. Bagi pihak isteri pula ia dianggap satu penghormatan dan penghargaan atas kesediaan isteri berkongsi hidup.

Melihat betapa unik dan mulianya kedudukan mas kahwin berbanding hantaran, adalah tidak wajar kadar mas kahwin jauh lebih rendah daripada hantaran.

Meneliti kadar mas kahwin, sebaiknya sederhana, tidak terlalu mahal, tidak menyusahkan dan mudah untuk dibayar. Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki dengan menjadikan hafalan al-Quran sebagai mas kahwin.

Dalam peristiwa lain, Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki dengan sebentuk cincin besi sebagai mas kahwin.

Jika mas kahwin itu sendiri disarankan sebagai sesuatu yang mudah dan tidak menyusahkan, kenapa masyarakat mensyaratkan kadar hantaran terlalu tinggi hingga menyusahkan? Untuk membuang adat yang sudah sebati dalam kehidupan adalah sukar dan sebaiknya disesuaikan dengan hukum syarak.

Cara terbaik ialah menjadikan wang hantaran sebagai mas kahwin dengan kadar sederhana dan tidak ada lagi dwipembayaran. Kedua, mengekalkan adat pemberian wang hantaran, tetapi memastikan kadarnya lebih rendah daripada mas kahwin.

Justeru, sudah tiba masanya pihak berwajib membuat pindaan kepada kadar mas kahwin bagi setiap negeri supaya dinaikkan kepada kadar yang lebih munasabah, berpatutan dan dihormati berbanding RM80 atau RM22 seperti yang ada.

Penulis adalah Ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

No comments: