Friday, June 29, 2007

Peluang huni syurga besar, tetapi tak direbut


DARIPADA Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda kepada kami: “Tidakkah kamu gembira bahawa satu perempat daripada penghuni syurga itu daripada kamu?” Kata Abdullah, kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula Baginda: “Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu daripada kamu?” Kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya saya mengharap bahawa satu perdua daripada penghuni syurga itu daripada kamu. Ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.” (Hadis riwayat Muslim)

Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah yang benar dan diredai Allah. Namun, fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain.

Betapa mudahnya iman mereka goyah kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu, benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai, namun nilaian mereka hanyalah seperti buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Mereka mudah dipermainkan pihak musuh, bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru, peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang itu tidak direbut oleh semua orang.

Ramai berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang kafir.

No comments: