Tuesday, July 24, 2007

Sikap positif bawa kejayaan di dunia, akhirat


PERSAINGAN hidup penuh mencabar yang mewarnai pentas alam maya ini menuntut manusia bersabar dan bersemangat waja dalam melayarkan bahtera kehidupannya menuju matlamat disasarkan.

Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menjadi perhiasan diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan dalam hidupnya ialah berfikiran positif. Secara harfiah, berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap segala keadaan menimpa dirinya.

Dalam istilah bahasa Arab, perkataan berfikiran positif lebih dikenali sebagai Husnu al Zhan yang bermaksud berprasangka baik iaitu lawan kepada perkataan Su’u al Zhan yang bermaksud berprasangka buruk.

Antara kedua-dua sifat berlawanan itu, Islam menganjurkan umatnya supaya bersifat berprasangka baik dalam hidupnya berbanding dengan berprasangka buruk yang tercela.

Perlu diinsafi bahawa sikap prasangka memainkan peranan penting dalam mencorak dan menentukan hala tuju hidup seseorang manusia. Menurut Razzi Armansur dalam bukunya Hidup Untuk Menang menegaskan, apa yang disangka itulah yang selalunya terjadi.

Selain prasangka buruk dihantar ke otak untuk diproses bagi menghasilkan penjara sendiri, prasangka juga adalah doa dalam senyap. Apabila anda berprasangka buruk, bermakna anda sedang berdoa di dalam hati, mendoakan sesuatu yang buruk supaya terjadi.

Ini memang tidak disedari, tetapi itulah yang selalunya terjadi. Semua orang tidak mahu dan sentiasa mengelakkan yang buruk tetapi itulah selalu yang diminta dan didoakan. Kerana itu Islam menyuruh dan menggalakkan supaya umatnya berprasangka baik. Berprasangka baik bermakna hati sedang berdoa supaya mendapat kebaikan dan kejayaan.

Prasangka buruk merugikan. Tidak ada kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan, perniagaan, pelajaran dan apa saja jika berprasangka buruk. Kenyataan itu disokong Imran Jafar dalam bukunya Kunci Kejayaan Napoleon Hill dengan menegaskan, sikap mental positif ialah sikap mental yang betul dalam sebarang keadaan dihadapi dan biasanya terdiri daripada ciri positif seperti kepercayaan, integriti, harapan, sikap optimis, keberanian, inisiatif, murah hati, toleransi, kebijaksanaan, baik hati dan akal budi yang baik.

Ditambah lagi, sikap mental positif adalah salah satu daripada 17 prinsip kejayaan yang diperkenalkan Napoleon Hill sebagai inti pati tindakan dan sikap setiap orang yang pernah mencapai kejayaan berkekalan.

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW menyanjungi seorang mukmin yang berfikir positif dalam hidupnya, bahkan sifat itu adalah antara ciri mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Seseorang mukmin sejati sudah pasti menginsafi bahawa hal baik mahu pun buruk dalam kehidupan ini akan datang silih berganti menimpa dirinya. Pada satu ketika, dia mengecapi nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah dan mungkin pada satu ketika lain. dia akan ditimpa kesusahan dan kesedihan yang menguji kesabarannya.

Begitu juga pada waktu ini dia diulit kesihatan memuaskan yang memungkinkan dia melakukan sesuatu kerja dengan lancar sekali dan pada waktu lain, dia ditakdirkan jatuh sakit hingga kerja rutin hariannya akan terbantut buat seketika.

Ada juga yang mudah memperoleh limpahan rezeki datang mencurah-curah yang dianugerahkan Allah. Sedangkan pada ketika lain, dia akan rasa kesukaran mendapatkan rezeki biarpun sesuap nasi walaupun tenaga dikerahkan dan keringat dicurahkan. Namun semuanya itu sudah menjadi ketetapan dan ketentuan Ilahi yang mengatur dan menyusun perjalanan alam maya terbentang luas.

Perjalanan hidup dilalui setiap makhluk tidak tetap dan sentiasa berubah dari satu masa ke satu masa yang lain, dari satu keadaan kepada keadaan lain menurut sunnatullah yang termaktub di Loh Mahfuz.

Keadaan itu bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya).” (Surah Ali-Imran, ayat 140)

Bagi seorang mukmin yang mengaku beriman kepada Allah, tetap akan menerima apa yang berlaku dalam hidupnya dengan penuh reda dan insaf, tidak kira peristiwa itu manis atau pahit, suka mahu pun duka.

Oleh itu, apabila seorang mukmin menerima kebaikan dan nikmat kesenangan, maka dia akan memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah di atas kurniaan nikmat itu. Pengertian syukur di sini tidak hanya terbatas kepada ucapan syukur Alhamdulillah ratusan kali, malah ia mesti dijelmakan dalam bentuk praktikal amali supaya kebaikan dan nikmat kesenangan yang diperoleh itu bukan saja bermanfaat untuk dirinya bahkan kepada orang lain, seumpama berzakat, bersedekah, menderma serta mewakafkan harta.

Dalam ketika lain, apabila seorang mukmin itu ditimpa musibah atau kesusahan kepada dirinya, keluarganya, hartanya dan hidupnya, dia akan bersabar dan tidak pula rasa keluh kesah. Mereka meyakini Allah menyediakan ganjaran berlipat ganda atas kesabaran.

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155 - 157)

Selama seseorang manusia itu menjalani hidup ini bersesuaian dengan sunnatullah berbekalkan iman dan takwa di sudut jiwa serta tidak bercanggah dengan batas agama dan nilai hidup yang murni, ini bermakna musibah dan kesulitan itu sebenarnya ujian Allah. Sedangkan Allah sendiri menimpakan ujian lebih berat kepada orang yang lebih kuat imannya kepada-Nya. Dari sinilah wujudnya buah kesabaran dan ketabahan yang akan bertapak kukuh dalam sanubari hamba yang bertakwa.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Sebaliknya, jika musibah dan bencana yang timbul itu akibat daripada ingkar terhadap peraturan Allah dengan melakukan larangan-Nya, maka tidak ada jalan keluar daripada musibah melainkan dengan bertaubat nasuha kepada Allah.

Demikianlah bagaimana Islam menganjurkan umatnya menghiasi dirinya dengan sifat sabar dan bersikap positif dengan harapan matlamat kebahagiaan sejati dan keredaan Ilahi di dunia dan akhirat akan tercapai.

No comments: