``WOIT, kalau nak bersiar-siar, pergi taman bungalah. Bawa kereta terhegeh-hegeh macam @#$%&? *%$@!#^.\\\'\\\' Honnnnn! ``Ooops! Orang puasa mana boleh marah-marah, nanti kurus pahala puasa\\\'\\\'.
Marhaban ya Ramadan al-mubarak. Bulan penuh berkat, keampunan dan seribu rahmat.
Insiden di atas membenarkan banyak hasil kajian klinikal ke atas perangai manusia ketika berpuasa pada bulan Ramadan. Mereka lebih bersifat tenang, mengambil kira ganjaran pahala yang banyak pada bulan berkenaan.
Penyelidikan turut membuktikan bahawa kes-kes jenayah berkurangan sepanjang sebulan umat Islam berpuasa sebagaimana yang ditetapkan oleh syariah.
Ini bersesuaian dengan definisi puasa mengikut Islam iaitu menahan diri daripada makan dan minum dari saat terbit fajar hingga matahari tenggelam serta menahan diri daripada semua perkataan, pemikiran atau pendengaran yang tidak baik (menahan nafsu).
Pakar Perubatan Am dan Respiratori Hospital Pusrawi, Dr. Fazilah Ahmad berkongsi pelbagai fakta menarik mengenai puasa serta kebaikannya dari sudut perubatan.
Sebelum itu, apa kata kita ketahui dahulu proses-proses yang berlaku ketika seseorang itu menunaikan ibadah puasa.
Makanan merupakan sumber tenaga yang penting di dalam kehidupan manusia di mana ia akan diproses di dalam sistem penghadaman manusia, iaitu dari pemecahan karbohidrat kepada unit glukosa untuk digunakan sebagai tenaga.
``Makanan yang berlebihan akan disimpan di dalam bentuk glikogen di dalam hati dan tisu lemak di bahagian otot-otot.
``Ketika berpuasa yang berpanjangan, tenaga akan dibekalkan dari pemecahan tisu simpanan ini sekiranya diperlukan. Jadi, tidak timbul soal tidak cukup tenaga sepanjang waktu berpuasa,\\\'\\\' katanya kepada Mingguan Malaysia.
Oleh itu, untuk menyediakan diri dan membekalkan keperluan tenaga sepanjang waktu berpuasa, umat Islam digalakkan bersahur.
Di samping itu, puasa juga memberikan kesempatan kepada saluran pencernaan untuk beristirahat setelah bekerja keras terus-menerus selama lebih kurang 18 jam sehari, hampir sepanjang tahun.
Ini kerana, badan tidak perlu mengeluarkan asid dan lain-lain enzim untuk memproses makanan semasa berpuasa.
Fungsi perkumuhan yang semakin berkesan membolehkan sel badan memberikan tumpuan terhadap proses pembuangan toksin melalui pembakaran lemak.
Malah, sekiranya berpuasa dilakukan secara teratur, gejala-gejala penyakit berat seperti diabetes, darah dan kolesterol tinggi, migrain hingga obesiti dapat dikurangkan.
Kebaikan berpuasa dari sudut perubatan
Penurunan berat badan
Dr. Fazilah berkata, mereka yang berpuasa dengan amalan pemakanan baik boleh mengurangkan berat badan dengan ketara.
Kajian dari University of Medical Sciences, Tehran ke atas sembilan orang lelaki dewasa yang sihat mendapati, mereka menunjukkan kekurangan berat badan di antara lima hingga tujuh kilogram sepanjang bulan Ramadan.
Hasil yang sama turut dibuktikan oleh kajian berasingan di University Hospital, Amman, Jordan di mana 42 lelaki dan 26 wanita mencapai penurunan berat badan dalam lingkungan yang sama.
``Ini dapat membantu individu di dalam kategori berat badan berlebihan atau obes untuk menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat dan murah.
``Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi pula, ini dapat menurunkan paras tekanan darah serta kandungan gula mereka dengan lebih baik,\\\'\\\' katanya.
Menurutnya, perbezaan penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air).
Penurunan melalui puasa, kata Dr. Fazilah, selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.
``Berbeza dengan crash diet, tidak berlaku malnutrisi atau kekurangan kalori yang ketara dalam puasa Ramadan kerana tidak berlaku sekatan terhadap jumlah makanan atau jenis makanan ketika bersahur atau berbuka.\\\'\\\'
Beliau menarik perhatian tentang wujudnya satu bahagian di dalam otak yang dipanggil lipostat, yang bertugas mengawal berat badan.
``Sekiranya penurunan berat badan berlaku disebabkan oleh diet `kebuluran\\\', lipostat tidak menerimanya sebagai normal.
``Lalu, ia akan mengubahsuai program supaya berat badan meningkat dengan cepat setelah cara pemakanan diet kebuluran dihentikan,\\\'\\\' kata Dr. Fadilah.
Dalam kata lain, lipostat akan memberitahu badan satu-satu diet itu adalah tidak normal dan akan melipatgandakan pemakanan apabila berpeluang.
Keadaan ini berbeza dengan puasa Ramadan di mana ia dilakukan secara perlahan, di bawah kawalan dan tidak secara mendadak.
Mempercepat proses pemulihan
``Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan.
``Proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan, yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur,\\\'\\\' ujar beliau.
Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat.
``Kalau anda pernah melihat program Discovery Channel menunjukkan, binatang seperti harimau misalnya akan berhenti atau mengurangkan pengambilan makanannya selagi berada dalam kecederaan, sehinggalah pulih.\\\'\\\'
Kajian turut mendapati, berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa, menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.
Sekali lagi, Dr. Fazilah menekankan bahawa, kadar metabolisme yang menurun tidak memerlukan tenaga yang banyak justeru, tidak makan semasa berpuasa menyebabkan letih dan malas cuma satu alasan.
Puasa juga akan meningkatkan respons sel darah putih B limfosit di dalam sistem pertahanan badan. Ini dibuktikan dengan kajian ke atas pesakit artritis reumatoid dan dibandingkan dengan individu normal yang telah diberikan imunisasi.
Selepas seminggu, darah diperiksa dan didapati bahawa respons B limfosit meningkat di dalam kedua-dua kumpulan.
Awet muda dan memanjangkan usia
Hormon pertumbuhan, sejenis hormon antipenuaan didapati dirembeskan dengan banyaknya ketika berpuasa.
Selain itu, fenomena ini dikatakan juga berpunca daripada proses pembentukan sintesis protein yang lebih efektif, ketahanan badan yang lebih baik serta kadar metabolik yang lebih rendah.
Kajian pada haiwan menunjukkan, puasa dapat memanjangkan usia, memperlahankan kadar penurunan fungsi badan dan mengurangkan insiden penyakit tua.
``Bagi sesiapa yang mahu awet muda serta hidup lebih lama, bolehlah berpuasa selalu.
``Jika anda perasan, orang-orang alim atau kiai kebanyakannya mempunyai wajah yang lebih berseri, tampak awet muda dan panjang usianya,\\\'\\\' katanya.
Mengurangkan
risiko penyakit aterosklerosis
Kajian turut mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula.
Ini tentunya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plak-plak berlemak berkembang pada dinding-dinding dalam dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat).
Keadaan ini terutamanya berlaku di kalangan pesakit diabetes.
Solat tarawih memetabolismekan makanan
``Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya.
``Ia membantu memetabolismekan (memproses) makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori),\\\'\\\' kata Dr. Fazilah.
Di samping itu, ia juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).
Mendisiplinkan diri agar berhenti merokok
Ramadan merupakan bulan untuk melatih diri menjadi insan yang lebih bertakwa. Ganjaran pengampunan dan banyak ibadah dapat dijalankan sebagai deposit pahala.
``Ia boleh juga digunakan untuk kita melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok.
``Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan,\\\'\\\' katanya.
Namun, Dr. Fazilah secara peribadinya berpendapat: ``Merokok atau tak nak merokok ini sebenarnya lebih kepada soal hati. Kalau turun ubat dari syurga sekalipun, kalau mereka tak mahu berhenti, tak mahu juga.\\\'\\\'
Ketenangan mental
Dari segi kesihatan mental, di bulan Ramadan ini, umat manusia berasa lebih tenang.
Ganjaran yang berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus mengurangkan kes-kes jenayah.
Pemakanan di bulan Ramadan
* Pastikan makanan yang seimbang (buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat, protein) ketika bersahur dan berbuka puasa.
``Tidak perlu makan banyak. Ketika berbuka, disunatkan mengambil kurma kerana kandungan gula yang tinggi bertindak sebagai pembekal tenaga.
``Bagaimanapun, bagi pesakit diabetes dinasihatkan memakan kurma sekadar sunat sahaja (sebiji), jangan banyak,\\\'\\\' jelasnya.
Sementara itu, ketika bersahur, banyakkan makanan yang lambat hadam iaitu bijirin seperti oats, gandum dan lain-lain kerana makanan jenis ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk diproses iaitu, lapan jam. Justeru, ia dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama.
``Jika dibandingkan antara nasi dengan capati, capati adalah lebih perlahan untuk dicernakan manakala bagi pesakit kencing manis, mereka digalakkan makan roti berserat dan bukannya roti biasa.\\\'\\\'
No comments:
Post a Comment