NABI Adam adalah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah s.w.t. di muka bumi. Baginda juga diutuskan sebagai nabi yang pertama dan merupakan nenek moyang sekelian manusia. Baginda dijadikan oleh Allah daripada tanah.
Allah menciptakan Nabi Adam sebagai manusia yang pertama mendiami bumi yang terbentang luas, beranak-pinak dan berketurunan menjadi manusia yang banyak, bermacam-macam golongan dan bangsa yang berselerak di seluruh pelosok bumi.
Terlebih dahulu Allah memberitahu kehendak-Nya untuk mencipta Nabi Adam kepada semua malaikat. “Aku hendak menciptakan manusia untuk menjadi pengatur di muka bumi ini.”
Para malaikat lalu menjawab, “Apakah manusia yang Engkau ciptakan itu untuk mengatur bumi, ya Tuhan kami? Tidakkah manusia itu nantinya akan merosakkan bumi dan menumpahkan darah serta berbunuh-bunuhan?”
Lalu Allah berfirman, “Aku lebih mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Setelah mendengar jawapan Allah yang pendek tetapi mempunyai erti dan maksud yang sangat dalam itu, semua malaikat terdiam. Mereka hanya berkata dengan berbisik antara mereka, “Mereka memang benar! Tuhan kita mengetahui segala sesuatu, daripada perkara yang sekecil-kecilnya sampai kepada perkara yang sebesar-besarnya.”
Maka pada hari yang dijanjikan, terciptalah Nabi Adam daripada segumpal tanah liat yang kering, lalu Allah meniupkan roh ke dalamnya supaya hidup, dapat bergerak, berperasaan dan bernyawa. Selepas itu, Adam pun menggerakkan sekujur badannya. Seterusnya terbukalah mata Adam, lalu bergeraklah jantung dan berfungsilah paru-parunya.
Dengan terciptanya Nabi Adam itu, maka bermulalah kehidupan manusia di muka bumi ini.
1 comment:
Bagus gak sekali-sekali baca kisah Nabi Adam. Mengingatkan kita yang asal-usul kita ni daripada tanah. Rajin gak kau post benda-benda bermanfaat macam ni. Keep it up bro!
Post a Comment