Seorang lelaki yang belum berkahwin tentu bercita-cita untuk memiliki seorang wanita yang boleh menjadi teman hidup, boleh memberi kebahagiaan zahir dan batin dan ketenangan dalam rumahtangga.Mereka yakin hanya wanita yang 'baik' saja yang boleh memberi ketenangan. Lantaran itu tidak pelik ada lelaki yang memesrai ramai wanita lain sebagai teman berhibur, tetapi enggan menjadikan mereka isterinya. Sebaliknya memilih wanita yang terpelihara, yang belum dimesrai oleh mana-mana lelaki sebagai suri dalam hidupnya.
Itulah sebenarnya fitrah semua lelaki. Inginkan agar wanita yang menjadi teman hidupnya boleh menjadi sumber ketenangan pada hatinya dan kebehagiaan dan kegembiraan dalam rumahtangga demi untuk menyambung zuriatnya.
Tidak semua wanita boleh memberi ketenangan hidup pada lelaki yang menjadi suaminya. Wanita yang ada meletakkan cinta pada orang lain, tentulah tidak akan dapat menggembirakan suami. Betapa ramai hari ini isteri-isteri yang teralih pandangannya pada lelaki lain yang ditemui setiap hari di tempat kerja, di tempat menunggu bas, lelaki yang ditemui semasa berurusan dengannya yang mana ada di antara mereka lebih kacak, lebih mesra, lebih kaya dan memangnya pandai memikat. Lelaki yang tidak pernah memikirkan samada wanita itu isteri orang ataupun anak dara orang ememangnya akan memburu dan membujuk rayu wanita itu untuk dapat memuaskan dorongan nafsu jahat.
Isteri yang malang akan terperangkap dan akan hilanglah keindahan hidup dalam rumahtangga kerana hatinya sudah dapat digugat oleh lelaki lain. Cintanya telah berbelah bagi. Perhatiannya pada suami sudah tidak seserius seperti masa mula-mula kahwin dulu. Makin hari makin hendak larikan diri daripada suami. Apa lagi kalau semakin hari semakin nampak kelemahan dan kecacatan suami. Maka berfikir dan beranganlah mereka untuk hidup di samping lelaki lain yang ditemui saban hari di tepi-tepi jalan, di tempat kerja atau di mana saja. Sehingga kerana itu layanan pada suami makin kurang.
Kasih begini memang telah berlaku dan pernah diceritakan dalam kitab. Kisah seorang wanita muda yang bersuamikan lelaki tua. Wanita muda yang jadi isteri itu hari-hari ke pasar membeli barang keperluaannya disebabkan oleh suaminya uzur dan sudah tua. Bertemulah dia dengan seorang penjual yang muda dan kacak. Pada mulanya dalam hati wanita itu biasa saja, tiada apa-apa perasaan lain bila berurusan dengan lelaki itu. Tetapi setelah kerap kali berjumpa, timbul pula perasaan lain di dalam hatinya. Hatinya mula membandingkan lelaki itu dengan suaminya. Mulalah dia nampak suaminya tidak 'handsome' dan tua. Sehingga hatinya mula terpikat pada pemuda itu. tetapi dia wanita solehah. Tidak mahu syaitan mempermainkannya dan tidak sanggup untuk curang pada suami yang banyak berjasa padanya.
Lalu apabila balik ke rumah dia pun mengadu pada suaminya tentang keadaan dirinya. Dia meminta pada suaminya untuk tidak mahu ke pasar lagi. Dia tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki kacak pada pandangan matanya, demi menjaga iman dan untuk taat pada suaminya.
Begitulah kisah seorang wanita solehah. Apa jadi kalau wanita yang tidak baik mengalami kisah begitu? Tentu dilayan kemahuan hati untuk menjadi kekasih hati lelaki lain apabila hati sudah tawar dengan suami. Ini jugalah puncanya yang menyebabkan banyak rumahtangga yang runtuh pada hari ini kerana isteri sudah tidak merasa suami itu istimewa pada dirinya yang sepatutnya dilayan sebaik-baiknya dan dimuliakan setinggi-tingginya. Didahulukan segala kemahuan dan hajatnya lebih dari orang lain walaupun kedua ibu bapanya sendiri. Kebanyakan wanita hari ini memandang perintah memuliakan atau mentaati suami sebagai tidak patut dan menganggap perintah itu sebagai menghina kaum wanita sehingga menjadi hamba abdi suami.
Isteri sebegini, yang tidak nampak lelaki lain yang lebih hebat, lebih baik terhadap dirinya melainkan suaminya akan meletakkan sepenuh kasih sayang, cinta dan ketaatan pada suaminya. Dia akan sentiasa mencari-cari apa saja perlakuan yang menyenangkan hati suami. Mencari apa yang menjadi keghairahan suami dan menjauhkan diri dari membuat perkara yang suami tidak suka dan boleh menghilangkan bahagia pada hati suami. Seterusnya sangat takut untuk melakukan perkara yang boleh menggugat kebahagiaan dalam rumahtangga yang telah dibina. Lebih takut lagi untuk derhaka pada suami kerana takut kemurkaan Allah yang akan melemparkan isteri-isteri yang derhaka dalam neraka.
Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Di tanya orang, "Ya Rasulullah manakah wanita yang baik?"
Rasulullah saw menjawab; "Wanita yang baik ialah wanita (isteri) yang selalu menggembirakan suaminya, bila suaminya melihat kepadanya, ia selalu patuh, bila suaminya memerintahnya, dan dia tidak mahu melanggarnya baik pada diri peribadinya, mahupun harta bendanya menurut yang tidak disukai suaminya."
Begitu sekali pentingnya isteri menjaga hati suami agar jangan sampai kecil hati, apa lagi kalau perbuatan itu menimbulkan kemarahan dan kebencian di hati suami. Hendaklah dijauhkan agar tidak berlaku di dalam rumahtangga kita. Biarlah kita jadi wanita penenang dan penyejuk hati suami dalam rumahtangga sepertimana sabda Rasulullah saw bahawa baginda mencintai tiga perkara iaitu sembahyang, wangi-wangian dan wanita solehah. Biarkanlah wanita yang tidak solehah itu berkata perbuatan memuliakan dan mentaatkan suami itu sebagai kerja menghina atau mengabdikan kaum wanita, kerana tempatnya sudah bersedia menunggu. Cuma kita sebagai orang Islam, doakan mereka semoga dia insaf akan kata-katanya itu.
Berbahagialah suami yang memiliki isteri-isteri yang sepertimana difirmankan Allah dalam surah An Nisa ayat 34 yang bermaksud:
"maka sang isteri (wanita-wanita) yang baik itu ialah mereka yang setia kepada suaminya, mereka selalu memelihara kehormatan dirinya selama suaminya tiada di rumah, sebagaimana Allah telah memeliharanya."
Memang telah Allah jadikan wanita itu sebagai pelengkap hidup bagi lelaki. Dengan memesrai dan menggauli wanita yang jadi isterinya, lelaki boleh melepaskan ketegangan seks dan ketegangan fikiran setelah penat bertungkus lumus di tempat kerja. Persoalan di tempat kerja kadang kala begitu berat dan cukup meletihkan bagi kaum lelaki. Ketika itu lelaki amat memerlukan hiburan. Hiburan yang tertinggi bagi seorang lelaki ialah wanita, iaitu isterinya.
Wanita yang dihalalkan baginya ialah isteri yang telah dikahwini secara sah di sisi syariat. Tetapi ada juga lelaki yang mencari hiburan melalui wanita yang bukan isterinya. Mereka dampingi wanita liar yang bebas, yang boleh diajak ke hulu ke hilir, ataupun mereka kunjungi wanita di rumah urut, tempat pelacuran, yakni hiburan yang terpaksa dibayar setiap kali minta dilayan. Duit habis, layanan pura-pura dan dosa kerana buat maksiat akan memburu mereka di akhirat nanti. Entah-entah kerana dosa itu mereka akan merempat hina di neraka yang penuh seksa. Itulah pentingnya lelaki memiliki seorang isteri yang sedia untuk melayan suaminya. Samada layanan dalam keperluan makan minum, pakaian dan fikiran juga lanan dari segi seksual. Kerana layanan itulah yang akan dapat menyelamatkan suami dari mencari hiburan dan ketenangan di tempat lain. Seterusnya boleh menyelamatkan para suami dari melakukan dosa.
Layanan dari segi seksual penting apabila suami berhajat. Sehingga Rasulullah saw berpesan dalam hadisnya kepada para isteri supaya mereka melayani hajat suami sekalipun mereka berada di atas belakang unta, mesti ditunaikan juga. Tetapi, wanita yang tidak solehah akan memandang pesanan sabda Rasulullah saw ini sebagai tidak ada otak dan semua kaum lelaki bertuhankan nafsu seksual.
Ada diceritakan, di antara para sahabat Rasulullah saw yang berpuasa apabila berbuka mereka menggauli isterinya terlebih dahulu. Ini disebabkan melepaskan dorongan seks akan mendatangkan ketenangan pada lelaki. Apabila tenang barulah datang rasa khusyuk sewaktu beribadah.
Jangan disebabkan oleh terlalu letih bekerja, isteri mereka berat untuk menunaikan hajat suami. Sehingga suami berasa kecil hati dan mendongkol. Isteri-isteri yang begitu akan dilaknat oleh Allah sebagaimana hadis Rasulullah. Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi saw, bersabda:
"Bila seorang telah mengajak isterinya ke tempat tidurnya (untuk menggaulinya), lalu ia enggan datang, dia dikutuk oleh malaikat hingga waktu subuh." Riwayat Bukhari dan Muslim
Jika isteri-isteri betul-betul dapat menyediakan diri dan rumahtangga sebagai sumber dan tempat suami dan ahli keluerga mendapat ketenangan, insyaAllah suami itu akan semakin bersungguh-sungguh untuk beribadah, bersembahyang, membaca Al Quran, zikir wirid dan melakukan kebaikan dengan hati yang lapang, bila dia keluar rumah. Sebaliknya bila dia keluar rumah, hatinya tidak bimbang meninggalkan rumah kerana dia yakin ada orang yang disayanginya dapat memelihara amanahnya dan rumahtangga. Tidaklah fikirannya diganggu oleh persoalan rumahtangga yang remeh-temeh. Merdekalah fikirannya untuk memikirkan dan melaksanakan tugas seorang lelaki yang lebih besar dan berat yang telah diamanahkan kepadanya di luar rumah.
Ketenangan yang didapati oleh seorang suami dari seorang isteri solehah memungkinkan suaminya untuk mencapai kejayaan hidup di dunia. Ia akan memungkinkan suami berjaya dan maju dalam perjuangannya, dalam kariernya dan sebagainya. Dan boleh menyelamatkan mereka di akhirat dari seksa Allah kerana berkat layanan dan ketenangan yang didapati dalam rumahtangga menghalang dari bertindak liar dan curang di belakang isteri.
sekian...apa komen kawan2?
4 comments:
Mak aih... panjang kemain... Semenjak akhir2 ni kau punya blog banyak menjurus kepada persoalan kawin. hehehe. kalau nak kawin hantar kad/email jemputan. :9
hahaah..jangan marah..kan skrg ni musim kahwin..cuti sekolah..aku pun ikut keadaan semasa..aku tak teruja lagi tuk kahwin..heheh..
sure, nanti nak kahwin aku hantar la kad..
yer ker ikut waqi'?hehe.... kawin nanti jemput no!!
ya..nanti jemput..bagi alamat ya..hahahaha..
Post a Comment