Tuesday, February 21, 2006

Farakh berlaku akibat ragu

FARAKH, atau perkahwinan yang dipisahkan, jarang berlaku dalam masyarakat. Mahkamah boleh membuat keputusan sekiranya ternyata pernikahan itu adalah fasik seperti tersilap wali ataupun ia dilaksanakan dengan tidak menepati hukum-hukum nikah. Rukun nikah terdiri daripada lima perkara iaitu lelaki, perempuan, wali, dua orang saksi dan ijab dan kabul.

Pembubaran perkahwinan secara farakh berpunca apabila wujudnya keraguan dalam pernikahan yang melibatkan wali atau saksi. Misalnya, Ali dan Aminah berkahwin dan selepas itu, muncul keraguan di pihak Ali atau Aminah.

Maka, mahkamah berhak menentukan perkahwinan tersebut sah ataupun tidak. Mereka juga boleh bernikah semula tanpa menunggu masa yang lama, kata Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor, Aluwi Parman.

Menurut beliau, kes yang menimpa Zanariah dan Muhammad Nazirul merupakan sebahagian daripada contoh kes farakh kerana berlakunya kekhilafan agama apabila pendaftar nikah bertegas menggunakan wali hakim sedangkan adiknya layak sebagai wali.

Bagaimanapun, katanya, banyak perkara perlu diteliti secara adil dalam menilai kejadian tersebut. Setidak-tidaknya, dengan keberanian mereka mendedahkan apa yang berlaku boleh menjadi iktibar kepada pasangan lain yang akan mendirikan rumah tangga. Hal-hal yang melibatkan rukun nikah bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Kepentingan wali dijelaskan dalam riwayat al-Khamsah dan An-Nasa’i daripada Abi Musa, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.” Syarat-syarat sah wali ialah beragama Islam, baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun), berakal, lelaki, adil dan merdeka.

Mengikut pendapat mazhab Syafie dan Hambali, wali fasik tidak sah menjadi wali nikah. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan saksi yang adil.” (Riwayat Ahmad)

“Setakat ini tidak ada kes seumpama itu berlaku di Selangor. Cuma yang dilaporkan ialah kahwin sindiket tanpa kehadiran wali yang sah. Juga ada orang yang mengaku boleh menjadi wali hakim sedangkan dia tidak layak,” ujar beliau mengenai contoh kes perkahwinan dibatalkan yang berpunca daripada masalah wali.

Kes farakh berbeza dengan penceraian secara talak rajie. Perempuan yang diceraikan suaminya perlu menunggu hingga habis idah iaitu tiga kali suci sebelum dibenarkan berkahwin dengan orang lain. Dalam perkahwinan yang dibubarkan secara farakh pula, pasangan boleh melalui proses pernikahan semula tanpa menunggu tiga kali suci. Bagaimanapun, jika pengantin perempuan memilih untuk mengahwini orang lain, mereka perlu menunggu hingga habis idahnya.

“Tempoh yang diambil untuk berkahwin semula terpulang kepada proses yang dilakukan oleh pihak pejabat agama daerah tersebut. Mungkin ia mengambil masa dua minggu atau lebih,” tambahnya.

Selain farakh, antara perkara yang boleh membawa kepada pembubaran sesebuah perkahwinan ialah lafaz talak, tuntutan fasakh, cerai taklik dan khuluk.

Penceraian biasa berlaku apabila suami melafazkan talak ke atas isterinya atas sebab-sebab tertentu seperti sudah tidak menemui kata sepakat dalam perkahwinan dan bertelagah hinggalah suami menceraikan isteri. Cerai taklik pula berlaku apabila isteri melanggar taklik yang dilafazkan sewaktu akad nikah. Apabila suami bertaklik, maka ia tidak disabitkan hinggalah isteri melanggar taklik yang telah dilafazkan.

Fasakh

Tuntutan fasakh ialah membatalkan perkahwinan tanpa ucapan talak. Fasakh diharuskan demi kebaikan kedua-dua pihak. Isteri boleh menuntut fasakh daripada suaminya di Mahkamah Syariah jika berlaku beberapa perkara, antaranya:

- Suami tidak bertanggungjawab menanggung nafkah zahir atau nafkah batin.

- Suami menghilangkan diri tanpa berita setelah sekian lama.

- Suami tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya (sekiranya suami beristeri lebih daripada satu).

- Suami menghidap penyakit berbahaya yang sukar untuk diubati.

- Suami tidak taat pada ajaran Islam dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.

- Suami telah melakukan kezaliman ke atas dirinya (diri isteri), seperti memukul dan sebagainya.

Khuluk ialah penceraian dengan cara tebus talak iaitu isteri dengan cara tebusan seperti ganti rugi atau mengembalikan mahar. Khuluk hukumnya adalah harus. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada waktu suci atau waktu idah. Kebiasaannya, khuluk adalah kehendak dan kemahuan isteri walaupun suami tidak mempunyai niat untuk menceraikannya. Dalam kes ini, suami tidak boleh rujuk dan tidak boleh menambah talak sewaktu idah kecuali dibolehkan berkahwin dengan akad baru bersama bekas isterinya.

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Tidak halal bagi kamu mengambil semula apa-apa yang telah diberikan kepada mereka sedikit pun (isteri yang diceraikan), kecuali kedua-dua suami isteri takut tidak dapat menjalankan hukum Allah. Jika kamu (wali-wali) khuatir mereka tidak dapat menjalankan hukum Allah, maka kedua-duanya tidak berdosa tentang apa-apa bayaran (tebus talak) yang dibayarnya.” (al-Baqarah: 229)

Khuluk diharuskan bagi mengelakkan isteri menderhaka kepada suaminya dan menyedarkan kedua-dua pihak akan kesilapan masing-masing. Selain itu, ia juga sebagai penghormatan kepada isteri iaitu isteri berhak bertindak mengikut peraturan yang betul untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Jenis-jenis wali

- Wali mujbir - Wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan tanpa meminta izin terlebih dahulu. Wali mujbir terdiri daripada bapa kandung dan datuk sebelah bapa ke atas.

- Wali aqrab - Wali yang terdiri daripada saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak saudara lelaki seibu sebapa dan anak saudara lelaki sebapa

- Wali ab’ad - Wali yang terdiri daripada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa sebapa, anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah, bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara bapa sebapa, anak lelaki bapa saudara seibu sebapa, anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah, bapa saudara datuk seibu sebapa, bapa saudara datuk sebapa, anak lelaki bapa saudara datuk seibu sebapa ke bawah dan anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah.

- Wali hakim - Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) wali hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agung dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab. Wali hakim digunakan sekiranya tidak ada wali nasab, anak tidak sah taraf atau anak angkat, wali yang ada tidak cukup syarat, wali aqrab menunaikan haji atau umrah dan wali enggan menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya.

No comments: