Tuesday, February 07, 2006

Berhias jangan sampai mengubah ciptaan Allah

CANTIK adalah sesuatu yang subjektif. Malah ia memberi apresiasi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Ada orang mengatakan kurus itu cantik. Ada juga yang berpendapat lebih baik berisi sedikit. Bahkan, ramai wanita yang mahu tampil anggun dengan mempunyai kulit putih gebu dan berseri-seri.

Walau apa jua tanggapan wanita tentang kecantikan, kita sering terlupa bahawa setiap kejadian adalah hak milik Allah s.w.t.. Garis-garis usia akan tetap kelihatan bila sampai waktu dan ketikanya. Namun, sebagai wanita apakah yang boleh kita lakukan untuk memelihara kecantikan tanpa melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan dan mengancam nyawa?

Pengasas produk kecantikan Le’ Rose, Roslawaty Ramly berpendapat, kecantikan itu akan datang dengan sendirinya apabila seseorang itu mempunyai hati yang bersih, tiada hasad dengki dan juga sentiasa ikhlas melakukan sebarang pekerjaan.

“Apabila hati bersih ia akan terpancar pada wajah seseorang dan penggunaan kosmetik hanyalah untuk menambah kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah,” katanya.

Mengenai penjagaan kecantikan, Roslawaty berkata, dari segi amalan beliau menggunakan produk Le’ Rose untuk penjagaan kulit serta mengamalkan senaman secara berterusan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Selain itu, beliau juga mengamalkan makanan seimbang dan minum banyak air mineral iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Roslawaty mengaku pernah diajukan soalan tentang penggunaan botox untuk menambah kecantikan tetapi beliau secara jujur memberitahu pelanggan bahawa salonnya tidak menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Pada saya penggunaan botox atau kaedah lain termasuk susuk adalah terpulang kepada individu tetapi bagi saya apa yang dikurniakan oleh Allah itu adalah mencukupi. Kita perlu menjaganya dan jangan mengubah ciptaan Tuhan,” jelasnya.

Menurutnya, ada sesetengah individu yang terikut-ikut dengan trend di Barat dalam penggunaan botox sedangkan kecantikan sedia ada pada mereka telah cukup dan tidak ada cacat celanya.

“Saya percaya kebanyakan orang yang menggunakan botox sekadar mencuba kerana perkhidmatan itu mudah diperoleh termasuk daripada doktor-doktor yang bertauliah,” tambah Roslawaty.

Menurut Dekan Program Yayasan Kajian dan Klinikal, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed, kecantikan pada masa sekarang sudah menjadi satu trend dan semua wanita berebut-rebut untuk tampil anggun dan menawan dengan menggunakan pelbagai kaedah rawatan kecantikan.

Dalam aspek perubatan, rawatan di atas permukaan kulit boleh dilakukan dengan meletakkan krim atau kaedah terapi untuk menaikkan seri wajah. Bahagian bawah kulit pula adalah lapisan otot yang menggunakan suntikan botox ke bahagian tersebut supaya otot-otot kelihatan tegang.

Jika otot-otot tegang, secara tidak langsung ia akan menghilangkan kesan-kesan kedutan pada kulit wajah dan seterusnya wajah akan nampak lebih muda daripada usia sebenar.

Bagaimanapun, kesan suntikan botox yang kurang jelas menyebabkan ada sesetengah wanita mengambil keputusan menjalani pembedahan kosmetik sama ada melibatkan pembuangan lemak di bawah kulit supaya nampak tegang dan lebih kurus.

“Sebagai contohnya, ada yang tidak berpuas hati dengan bentuk hidungnya yang bengkok dan menjalani pembedahan untuk memancungkan hidung atau membetulkan mata yang sepet supaya kelihatan lebih bulat,” kata Abdul Latiff yang merupakan Presiden Perubatan Islam Malaysia.

Kaedah terbaru kecantikan yang digemari wanita pada masa kini ialah dental surgery dengan tujuan membetulkan kedudukan gigi yang jongang atau tidak teratur supaya lebih cantik. Prosedur ini juga termasuk dalam kaedah pembedahan kosmetik.

Selain itu, ada juga wanita yang memakan pil-pil kecantikan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada tubuh badan. Ada antara pil itu menyebabkan reaksi pada kulit. Ada juga ubat sapu atau krim muka yang boleh mendatangkan alahan kepada pengguna kerana mengandungi bahan organik yang berbahaya. Kandungan organik tersebut boleh menyebabkan alahan kerana ia menghancurkan antibodi dalam badan dan seterusnya merosakkan permukaan kulit.

“Ada wanita yang sanggup melakukan penanaman silikon walaupun ini boleh mengundang kesan tindak balas yang luar biasa seperti kulit mengelupas, bernanah dan jangkitan kuman yang akhirnya boleh merosakkan kecantikan sebenar yang telah dianugerahkan Allah s.w.t.,” kata Abdul Latiff mengulas mengenai kaedah-kaedah rawatan kecantikan yang mendatangkan risiko kepada pengguna.

No comments: