Tuesday, February 07, 2006

Cantik dari sudut pandangan Islam

PERSOALAN utama yang perlu dilontarkan kepada wanita moden hari ini: untuk apa menjadi cantik? Apakah kelebihan jika dilahirkan cantik atau membentuk diri menjadi cantik? Adakah kecantikan elemen utama dalam mengejar kepuasan hidup?

Jutaan wanita sanggup melakukan pelbagai cara untuk kelihatan cantik termasuklah melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa. Sedangkan Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail berkata, menjaga kecantikan memang digalakkan oleh Islam tetapi pelaksanaannya mestilah berlandaskan hukum syarak.

“Islam adalah agama kebaikan untuk semua orang dan setiap tindakan yang diambil perlu mempunyai objektif ke arah kebaikan, bukannya yang mendatangkan kemudaratan. Ini termasuklah aspek penjagaan kesihatan seperti makanan, minuman dan aktiviti-aktiviti riadah. Kalau ia adalah perbuatan yang menyebabkan keburukan, maka ia tidak wajar dilakukan,” kata Paizah.

Penggunaan botox pula perlu dilihat daripada banyak aspek sama ada ia dilakukan untuk tujuan perubatan atau kosmetik semata-mata. Bagaimanapun, ujar beliau, suntikan botox memerlukan bayaran yang agak mahal dan ia hanya dilakukan oleh golongan yang berkemampuan.

Melampaui

Ada yang melakukan botox dengan alasan atas permintaan suami. Dalam konteks ini, Paizah menasihati para suami agar tidak meminta sesuatu yang melampaui batas hingga menjejaskan kesihatan isteri dan mengancam nyawa seperti melakukan pembedahan plastik untuk jadi lebih cantik.

Suatu waktu dulu, sebelum ‘fenomena’ botox muncul, ada wanita sanggup memakai susuk walaupun mereka menyedari perbuatan tersebut adalah syirik dan jelas bertentangan dengan hukum syarak. Malah orang yang mengamalkan susuk juga apabila mati mayatnya tidak diterima bumi.

Menurut Paizah, kepercayaan-kepercayaan demikian menunjukkan betapa berat hukuman yang dikenakan ke atas individu yang melanggar perintah Allah s.w.t. seperti mana kepercayaan anak yang menderhaka kepada orang tuanya akan disumpah menjadi batu.

“Sama ada mayat diterima bumi atau tidak itu terpulang kepada hukuman yang dilakukan atas kehendak Allah s.w.t.. Kita sebagai manusia harus mengambil iktibar ke atas apa yang berlaku dan memahami bahawa setiap tindakan yang mensyirikkan Allah s.w.t. adalah dosa besar,” tegas beliau.

Kaedah perubatan yang mengubah wajah pula, jelas Paizah bergantung kepada keperluannya dalam hidup. Islam membenarkan membetulkan keadaan mulut yang sumbing atau pembedahan kosmetik terutama ke atas mangsa kebakaran yang melecur dan merosakkan sebahagian tubuh badannya.

Sekiranya pembedahan dilakukan hanya sekadar ‘suka-suka’ seperti memancungkan hidung atau membesarkan mata yang sepet hingga mengelirukan orang ramai, maka ia adalah haram. Tindakan demikian bukan sahaja mendatangkan masalah pada kemudian hari tetapi mengubah kejadian asal tanpa sebab munasabah.

Mengulas mengenai isu pemakaian gigi emas di kalangan lelaki, katanya, lelaki diharamkan memakai emas tidak kira di jari, leher ataupun gigi. Persoalan perlu dicabut atau tidak terpulang pada persepsi individu terbabit kerana ada juga yang memakai gigi palsu dan mencabutnya apabila meninggal dunia.

Dalam soal penjagaan kecantikan dan kesihatan, Paizah menasihatkan golongan wanita agar bijak menggunakan setiap anugerah Allah s.w.t. dan jangan melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan masa depan atau mengancam nyawa. Islam sememangnya menuntut umatnya agar sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

No comments: