Tuesday, February 14, 2006

Hukum al-Quran, sunnah bertujuan pelihara keadilan

HUKUM ialah suatu ketetapan berdasarkan kepada al-Quran dan sunnah berkaitan dengan gerak laku insan yang mukallaf dalam semua perkara.

Hukum itu dikembangkan oleh ulama menerusi ijtihad dari semasa ke semasa.

Sesuatu hukum yang jelas sabit menerusi nas al-Quran dan sunnah tidak harus dipinda atau diganti dengan hukum lain berdasarkan ijtihad manusia atau pandangan mana-mana badan.

Justeru, ia adalah hukum yang tetap tanpa diberi ruang campur tangan manusia atas apa dakwaan sekalipun untuk meminda, menukar atau menggantikannya bagi tujuan memenuhi cita rasa mereka. Rasulullah SAW sendiri tidak dibenarkan Allah menukargantinya mengikut kemahuannya (Surah Yunus, ayat 15).

Bagi Muslimin dan Muslimat, Allah menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan sama sekali apabila Allah dan rasul-Nya menetapkan sesuatu keputusan (hukum) mengenai sesuatu perkara (Surah al-Ahzab, ayat 36) dan mereka hendaklah menerima keputusan itu dengan sepenuhnya (Surah al-Nisa, ayat 65).

Al-Quran dan hukumnya tetap dipelihara Allah daripada sebarang pindaan dan rombakan sehingga hari kiamat (Surah al-Hijr, ayat 9).

Kedudukan itu berbeza dengan hukum furu' yang berasaskan ijtihad ulama. Ia saja boleh dipinda, itu pun jika 'illah (sebab) yang mengikat hukum itu sudah berubah. Di sini saja terletaknya apa yang diistilahkan sebagai keserasian (murunah) hukum Islam yang dapat disesuaikan atau dipinda selaras peredaran masa dan perubahan tempat.

Tetapi keharusan itu tetap berdasarkan maslahah dan bebas daripada sebarang kepentingan individu atau kumpulan serta terikat dengan kawalan terhadap lima perkara utama syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan/kehormatan diri dan harta benda. (Dr Yusuf Hamid al-'Alim, muka 203-548).

Justeru, kita tidak dibenarkan sama sekali meminda hukum yang diperuntukkan di dalam kitab suci al-Quran dan sunnah menerusi nasnya yang qat`i seperti hukum kewajipan menunaikan solat, puasa, haji, zakat, menjauhi riba, zina, tuduhan zina, minum arak, mencuri, merompak, menukar agama (murtad), melakukan pembunuhan, kecederaan, pengguguran, hukum-hukum kekeluargaan dan muamalat.

Dalam hubungan ini, kita hanya dituntut melaksanakan hukum berkenaan seperti dinaskan.

Tidak ada sesuatu hukum yang diperuntukkan al-Quran, sunnah dan ijtihad ulama yang menyentuh hubungan sesama manusia kecuali kerana ia bertujuan memelihara perkara itu dan menegakkan keadilan.

Hukum kekeluargaan, misalnya, bertujuan menyusun sebuah masyarakat cemerlang. Hukum berkaitan harta benda untuk memelihara hak pemilikannya supaya tidak dirampas atau dipindah milik secara tidak sah.

Hukum jenayah bertujuan memelihara agama, nyawa dan diri manusia, akal fikiran, keturunan, maruah diri, harta benda dan akidah supaya tidak diancam atau dicerobohi mana-mana pihak.

Apa yang dikatakan oleh sebahagian orang sebagai tidak adil dan menindas pihak tertentu adalah dakwaan yang hanya berdasarkan kepada tanggapan dan budaya asing yang memberi hak dan kebebasan tanpa batasan.

Hukum Islam hendaklah dilihat dari sudut ia adalah hukum Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Adil dalam apa juga ketetapan-Nya.

1 comment:

rafie said...

kau tulis semua ni paan? dahsyat kau sekarang. bagus la at least ada gak benda aku boleh belajar dari kau.