Thursday, March 30, 2006

Kerugian Bagi Wanita Yang Menolak Perkahwinan

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari
ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antara sebabnya
ialah kerana memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat
kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup mula berubah
dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Justeru itu ramai yang lebih rela menjadi andartu walaupun pada
hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang
tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang
tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas
dan kerjaya masing-masing.

Kami akan menceritakan tentang kerugian yang dialami oleh wanita yang
tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana
tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh
dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang,
terdapat wanita yang mempunyai peluang untuk berkahwin tetapi menolak dengan
alasan-alasan sepertimana yang disebutkan di atas tadi.

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja
berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan
masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak
ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan
fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan
sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling
memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan
positif dan negatif untuk melahirkan cahaya.

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih
hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana di barat.
Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap
jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan
mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di
akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih
banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu
syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan
anak-anak.

Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli
syurga di akhirat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan
empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga
maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia
kehendaki."

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat
mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun
ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin
tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan
mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan
redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia
akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan
Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air
susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan
diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh
kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan
daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000
pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang
tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat
tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela
dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi
wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.


Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita
yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu
berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu
wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang
dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut
telah berkahwin.

Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama
dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan
kebinasaan.

Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab
baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah
besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk
keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita
hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah
memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang
isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini
tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia
telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah
naungan suami.

Oleh : Mcik Ptd Ltd

3 comments:

Anonymous said...

kalau dapat lelaki yang baik dan bertanggungjawab, perempuan mane yang xnak kahwin...

Anonymous said...

yelah..pi lah cari..kat atas muka bumi ni berlambak lagi lelaki yang baik dan bertanggungjawab..yang kurang baik dan tak bertanggungjawab pun ada..mana tau, lepas kahwin dia berubah...

Anonymous said...

ya betul..lelaki baik tuk pompuan baik..tapi, tak semestinya camtu..Allah bleh uji dengan bermacam-macam cara..yang penting , redha dengan ketentuan Allah...