SELEPAS berusaha melakukan pekerjaan dan apa juga tindakan di atas muka bumi ini yang berbentuk kebaikan, kita digalakkan berserah atau bertawakal kepada Allah SWT.
Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Bukankah Allah SWT cukup untuk melindungi hamba-Nya.” (Surah Az-Zumar, ayat 36)
Inilah kelebihan berserah kepada Allah SWT kerana apa juga berlaku, insan beriman akan tenang dengan ketentuan yang diberikan Allah SWT ke atasnya.
Fudhalah bin Ubaid al-Anshar berkata, bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Beruntunglah orang yang diberi hidayah kepada Islam, kehidupan ada padanya dan dia berasa tenang dengannya. (Hadis riwayat at-Tirmizi dan an-Nasai)
Hadis ini menjelaskan, amat beruntunglah seseorang itu apabila mereka menjadi orang Islam, kerana apabila mereka memeluk agama Islam, mereka juga akan mendapat kehidupan sebagaimana manusia lain.
Apa yang menguntungkan orang Islam ialah mereka beroleh keimanan kepada Allah SWT dalam segala perbuatan, pekerjaan dan apa juga tindakan diakhiri dengan bertawakal kepada Allah SWT.
Tindakan itu membuatkan mereka tidak bimbang terhadap apa yang akan berlaku kerana yakin kepada Allah SWT.
Ibn Abbas mengatakan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jagalah Allah, nescaya Allah menjaga engkau. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatkan-Nya di hadapan engkau. Kenalilah Allah di waktu senang, nescaya Dia mengenal engkau di waktu susah. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah dan jika engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, seandainya seluruh umat berkumpul untuk memudaratkan engkau yang kemudaratan itu tidak ditetapkan untuk engkau, maka mereka tidak akan dapat memudaratkan engkau. Dan seandainya mereka hendak memberikan manfaat dengan sesuatu yang tidak ditetapkan untuk engkau, maka mereka tidak mampu memberikan manfaat kepadamu. (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Keputusan yang dilakukan manusia telah ditetapkan Allah SWT, tanpa manusia dapat mengubahnya. Oleh itu, sewajarnya manusia menyerahkan sesuatu perbuatan yang telah dilakukan setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment