BAYANGKAN senario ini, seorang wanita Islam berhijab dan seorang lelaki berjanggut atau berjubah labuh menaiki bas atau kereta api, tiba-tiba semua penumpang turun dalam keadaan ketakutan.
Ia kedengaran agak keterlaluan dan mungkin ada yang berfikir perkara itu tidak akan berlaku. Lagi pun, ini London, bukan New York atau bandar-bandar lain. London lebih toleran terhadap masyarakatnya dari segi agama.
Pelbagai cerita yang berlaku selepas kejadian 7/7, penangkapan 23 orang yang dikatakan berkomplot untuk meletupkan pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow ke Amerika Syarikat dua minggu lalu, menunjukkan bahawa senario ini tidak lagi akan mengejutkan kita ketika Islamofobia semakin menjadi-jadi.
Baru-baru ini, keluarga keturunan Arab membawa tetamu mereka dari Dubai untuk menikmati pemandangan London dari atas London Eye, diperiksa seperti orang lain, tetapi apabila pengawal keselamatan terdengar seorang daripada mereka bercakap Arab, mereka terus ditahan.
Mereka tidak dibenarkan membawa beg mereka dan terpaksa disimpan di tempat lain. Pengawal keselamatan terbabit juga bertanya sama ada seorang daripada mereka membawa pisau. Dia kemudian menyeluk poket lelaki Arab itu untuk mencari pisau yang sememangnya tidak ada. Tetapi oleh kerana dia orang Arab Islam, dia ditahan dan terpaksa melalui pengalaman yang begitu mengaibkan sekali.
Dalam satu kejadian lain pula, penumpang dari Malaga yang ingin ke Manchester, tiba-tiba tidak menaiki pesawat apabila mereka lihat dua penumpang lain, keturunan Arab yang dikatakan berkelakuan ‘menimbulkan syak wasangka’.
Penumpang Monarch Airlines kemudian meminta supaya kedua-dua lelaki Arab itu dikeluarkan daripada pesawat berkenaan. Selepas disoal siasat, mereka dibenarkan terbang balik ke United Kingdom.
Sebuah keluarga keturunan Pakistan yang hendak bercuti di Disneyland, Amerika Syarikat turut melalui pengalaman sama apabila si bapa tidak dibenarkan masuk pusat itu. Dia disuruh mendapatkan visa walaupun mempunyai kerakyatan British. Dia terpaksa terbang pulang meninggalkan isterinya melayani anak kecil mereka di Disneyland seorang diri.
Syak wasangka, rasa takut dan benci sebegini terhadap masyarakat Islam nampaknya semakin menjadi-jadi. Setiap hari akhbar melaporkan banyak kejadian yang membabitkan anggota masyarakat Islam, tidak kurang juga tulisan sidang pengarang yang tajam dan dengan lantang berkata ‘Kalau mereka (Orang Islam) tidak suka kita, mereka mesti keluar’.
Setiap pagi dalam kereta api, saya terpaksa melihat penumpang asyik membaca apa yang orang Islam buat di negara ini dan sebagai orang Islam, kita juga begitu sensitif terhadap apa yang berlaku.
Adakah kita mempertahankan apa yang berlaku pada 7/7 di beberapa tempat di London yang mana ramai terkorban termasuk orang Islam? Apakah kita boleh menyuarakan pendapat bahawa kita juga meragui sesetengah laporan rasmi berhubung apa yang berlaku? Lagipun sudah terbukti laporan rasmi juga boleh tersilap apabila pemuda Brazil ditembak mati kerana disangka pengganas. Kulitnya seakan-akan orang dari Timur Tengah. Dia dikatakan membawa beg dan dalam keadaan tergesa-gesa. Cukup untuk menimbulkan syak wasangka.
Tapi, apakah agaknya kelakuan yang boleh menimbulkan syak wasangka? Pernah juga saya dengar selepas tragedi 7/7, seorang lelaki Islam yang membaca al Quran kecilnya disuruh turun dari kereta api. Seorang kawan rapat saya sendiri, yang memang banyak menghabiskan masanya di negara-negara Islam, dan mempunyai ramai sahabat Islam, mengaku bahawa, dia sendiri berganjak beberapa kerusi jauh daripada seorang lelaki Islam janggut sejemput yang sedang mendengar bacaan al Quran menerusi I-Podnya. Katanya, lelaki ini menggoyang-goyangkan diri khusyuk dengan apa yang didengarnya. Jelas sekali dia berasa takut.
Kecenderungan untuk stereotaip ‘pengganas’ ini semakin menjadi lebih-lebih lagi dengan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menyiasat penumpang yang dikatakan berkelakuan dalam keadaan mencurigakan, mereka yang dari agama tertentu atau yang terbang ke destinasi tertentu.
Dalam kebanyakan laporan mengenai suspek yang ditangkap berkaitan dengan kegiatan pengganas, profail yang digambarkan oleh kenalan atau jiran mereka agak lucu. Mereka dikatakan, tidak tinggal solat, selalu pergi masjid, membawa al Quran ke mana-mana saja mereka pergi dan mula menyimpan janggut sejemput. Begitu juga pakaian mereka, berjubah, iaitu antara cara berpakaian seseorang yang menjadi suspek.
Entahlah apa yang akan berlaku sekiranya betul ura-ura bahawa lapangan terbang akan mengadakan apa yang dikatakan barisan ‘Muslims Only’. Masyarakat Islam tentu akan merasakan diri mereka semakin terpisah.
-Zaharah Othman
3 comments:
Orang Islam gak menjadi mangsa. Kambeng btul laa orang yg takut tak tentu pasal nih.
tu la..kat london memang dah teruk skrg ma...siot Tony Blair..
Benda2 ginilah sebenarnya yg menguji dan menguatkan keimanan kita. Being a minority in a foreign land teaches us how to appreciate Islam.Sabda RasuluLlah swt , "Beriman pada akhir zaman ibarat menggenggam bara api".Spot-on indeed!!
Post a Comment