Wednesday, September 13, 2006

Susah, senang urus jenazah di kota metropolitan

KETIKA hidup di rantauan, tak dapat tidak soal ajal maut akan bermain di kepala. Memang ajal maut di tangan Tuhan dan hanya Dia yang menentukan - di mana dan bila. Kalau ditakdirkan ajal ketika di rantauan, banyak faktor perlu dipertimbangkan berbanding kalau meninggal di negara sendiri, di mana ramai sanak saudara dan sahabat handai boleh menguruskan soal pengebumian.

Soal ini timbul di benak beberapa kali, dan lebih sering dalam dua tiga hari kebelakangan ini ketika mengendalikan jenazah seorang kawan rapat dan kakak angkat yang sudah lama bermastautin di London.

Arwah kakak meninggal akibat penyakit kanser paru-paru dan otak. Tapi ketika masih sihat, arwah sudah beringat mengenai ‘di mana’ dia ingin dikebumikan dan keahliannya dalam sebuah kesatuan masyarakat Melayu yang menguruskan soal pengebumian orang Islam memudahkan lagi urusan bagi anak-anaknya, selepas dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Tapi, banyak lagi isu yang timbul bagi orang Islam yang meninggal di negara orang. Atau lebih tepat, bagi orang Islam yang mengendalikan jenazah di negara bukan Islam. Kebelakangan ini sudah banyak kemudahan diberi kepada orang Islam di hospital. Bilik solat dan makanan halal disediakan di kebanyakan hospital.

Namun soal mengendalikan mayat orang Islam, masih kekurangan. Daripada apa yang saya saksikan kebelakangan ini, pihak hospital amat menghormati peraturan agama Islam. Ketika saat terakhir seseorang itu, mereka membenarkan keluarga dan sahabat rapat berada di sisi pesakit untuk membaca Yassin. kemudian diberi lagi tempoh untuk bersama arwah sebelum mereka menyediakan mayat dibawa ke masjid.

Namun, kalau ditakdirkan seseorang itu meninggal pada lewat hari Jumaat dan tidak ada doktor boleh menandatangani sijil kematiannya, mayat akan disimpan di bilik mayat. Walaupun sijil ini diberi doktor, waris arwah terpaksa mendaftar kematian di pejabat pendaftar - yang tutup sepanjang hujung minggu. Pendaftar tidak semestinya menandatangani sijil ini walaupun dalam sesetengah kes ada yang berbuat demikian, kalau mereka diberitahu bahawa mayat orang Islam tidak boleh dibiar terlalu lama sebelum pengebumian. Kalau terpaksa menunggu juga, sanak saudara dan kawan rakan yang ingin menziarahi arwah terpaksalah pula meminta kebenaran daripada hospital. Dengan demikian, mayat akan ditempatkan di sebuah chapel.

Kebanyakan orang agak tersinggung apabila memikirkan bahawa mayat seorang yang beragama Islam di tempatkan di chapel - sebab tidak ada langsung tempat lain untuk meletak mayat. Namun dalam keadaan di mana kita langsung tidak ada pilihan dan terpaksa akur dengan peraturan yang ada, kita terpaksalah bersyukur dengan kemudahan diberi. Lagipun, mestilah kita ingat bahawa chapel itu tempat saja dan tidak ada sebarang upacara bercanggah dengan ajaran Islam yang dilangsungkan di sana.

Sebaik saja mayat diberi kebenaran untuk dibawa keluar, beberapa masjid di London atau di mana-mana saja, boleh menguruskan mandi jenazah dan pengebumian. Mereka akan menghantar kereta jenazah dan terus dibawa ke masjid untuk di mandikan. Inilah yang berlaku kepada kakak. Apabila sampai saja di Masjid East London, arwah dimandikan dengan segera wanita yang bertugas secara sukarela di situ, untuk mengejar solat Zuhur. Alhamdulillah, ramai yang berjemaah dan ramai menunaikan solat jenazah.

Ketika hayatnya, kakak menyuarakan keinginannya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Hainnault, iaitu di timur London - yang agak jauh dari rumahnya di barat London. Namun, tempat itu , Garden of peace , dari laman webnya kelihatan tenang dan cantik. Beberapa bulan dulu, kakak dan saya menziarah kawan yang kematian bayi kecilnya. Bayi tiga bulan ini juga dikebumikan di situ. Ada tanah perkuburan yang agak dekat, tapi terpaksa berkongsi dengan orang agama asing. Dan ada juga tanah perkuburan yang tak terjaga yang menjadi tumpuan mereka yang merosakkan batu nisan.

Amanat Kakak kami turuti dan Alhamdullilah, ramai sahabat handainya, kebanyakan mereka orang Melayu yang sudah lama bermastautin di London, ikut ke tanah perkuburan. Nampaknya ramai juga orang Melayu disemadikan di situ.

Namun, ada sedikit pertelingkahan mengenai kehadiran wanita di tempat perkuburan. Ada yang berpendapat kaum Hawa tidak dibenarkan hadir di tanah perkuburan ketika upacara pengebumian dan ini amat menyedihkan bagi anak-anak perempuan arwah dan juga kami yang sangat rapat dengannya.

Bagaimanapun selepas persediaan awal, kami dipanggil untuk menyertai upacara membaca doa dan untuk memberi ucapan selamat tinggal kami yang terakhir kepada seorang yang menjadi kakak kepada ramai perantau Melayu di London.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Bagaimanapun sekali sekala terdengar cerita mengenai kematian orang Islam yang tidak diurus dengan betul. Tidak berapa lama dulu, ada kes mayat orang Melayu Islam dibakar kerana anaknya hasil kahwin campuran, tidak tahu bagaimana menguruskan jenazah. Ada juga yang berkeras ikut cara Kristian kerana arwah sendiri tidak pernah meninggalkan apa-apa pesanan kepada anak-anaknya ketika dia masih hidup. Bagaimanapun dengan adanya kesatuan Melayu dan juga kesatuan masyarakat Islam, masalah sebegini tak perlu berulang lagi.

Zaharah...london.

No comments: