Tuesday, September 19, 2006

Puasa didik jiwa rakus jadi lembut

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan Ramadan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib, malah pelbagai perkara sunat yang lain.

Oleh itu, puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima Allah, iaitu orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.

Di antara ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah ialah melakukan solat tarawih, solat tahajud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu).

Namun, amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah, bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan dilakukan.

Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah.

No comments: